KETUA Jurulatih baharu Penang FC, Zainal Abidin Hassan memberi bayangan bakal merombak pasukan anak buahnya yang tumpas di tangan Sabah FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 17 Mei lepas.
Bagaimanapun, beliau akan mempertimbangkan langkah berkenaan selepas mengadakan post mortem dengan semua pihak termasuk pegawai teknikal, pengurus dan pemain bagi mengenal pasti sama ada kekalahan itu berpunca daripada pasukannya sendiri.
"Tindakan drastik bakal dibuat dan saya akan berbincang dengan pengurusan jika kemungkinan besar perlu buat perubahan pada senarai pemain. Namun segalanya bergantung selepas saya buat post mortem dan mendapat satu jawapan terhadap masalah sebenar pasukan," katanya.
Jelasnya, beliau tidak mahu menunggu terlalu lama mencari kelemahan yang dialami pasukan demi menyelamatkan Harimau Kumbang untuk saingan akan datang.
Zainal pada masa sama mengakui jangkaan semua pihak terhadapnya kali ini tinggi memandangkan skuad itu belum mencapai sebarang kemenangan sehingga menyebabkan mereka menghuni tangga tercorot di pentas Liga Super selepas lapan perlawanan.
"Belum ada kemenangan selepas lapan perlawanan dan berada di tempat terakhir, kemenangan pertama sudah pasti amat dinanti-nantikan oleh semua," katanya.
Zainal bakal membuat kemunculan kedua bersama Penang FC pada 18 Jun depan berdepan PJ City FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang selepas pernah mengendalikan pasukan itu pada pertengahan musim 2017 hingga 2018 sebelum mengemudi Melaka United FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram