FILIPINA sememangnya antara kuasa besar dalam arena gaming Asia Tenggara terutamanya permainan peranti mudah alih Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), mereka adalah pencipta meta baharu dan corak permainan mereka sukar untuk diduga.
Kemenangan Filipina ke atas pasukan Indonesia tempoh hari di Sukan SEA Hanoi 2021 menjadi bukti bahawa mereka masih mengekalkan tempat mereka di nombor satu dunia kategori MLBB.
Namun menjelang saingan Piala Asia Tenggara Mobile Legends (MSC) 2022 yang bakal berlangsung pada Jun di Filipina, Bon Chan selaku jurulatih pasukan Filipina dan juga Blacklist International menyatakan mereka harus berwaspada ke atas pasukan Malaysia dan Singapura.
Melalui satu posting oleh @Oneesportid di Instagram, Bon Chan ada menyatakan pasukan Malaysia dan Singapura merupakan pasukan yang kuat yang mana hampir mengalahkan pasukan Filipina di Sukan SEA Hanoi 2021.
"Prestasi pasukan Malaysia dan Singapura patut diwaspada, corak permainan mereka sukar untuk diduga setakat ini dan perkara ini terbukti sewaktu Sukan SEA Hanoi 2021 sebelum ini," ujar Bon Chan.
Perlawanan pembukaan Sukan SEA 2021 terdahulu menyaksikan Malaysia kalah tipis dengan Filipina kerana mereka dihukum atas kesilapan kecil.
Walaupun pasukan Malaysia tidak memenangi sebarang pingat dalam acara MLBB Sukan SEA Hanoi 2021, pasukan negara boleh disifatkan sebagai berbahaya kerana sering memberi pihak lawan tekanan yang tinggi.
Pasukan Malaysia akan menyertai kejohanan MSC 2022 yang menampilkan 12 pasukan terbaik dari negara di seluruh Asia Tenggara bagi merebut gelaran juara serta wang dan hadiah lumayan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram