SEORANG lelaki warga emas dan keluarganya mencetuskan kekecohan di balai polis Sibu pada Isnin apabila dia membawa mayat anak perempuannya untuk melaporkan kematiannya.
Difahamkan lelaki berkenaan hanya menyedari keadaan anak perempuannya itu selepas pulang menghantar seorang lagi anaknya ke sebuah universiti awam untuk menghadiri kelas.
Apabila dia pulang ke rumahnya di Bawang Assan di Sibu sekitar pukul 10 pagi, dia melihat anak perempuannya, seorang guru yang berusia 49 tahun terbaring tidak bernyawa di atas lantai dapur.
Dia kemudian membawa anaknya itu ke klinik berhampiran dan disahkan meninggal dunia.
Doktor menasihatinya untuk membuat laporan polis berhubung kematian anaknya itu.
Lelaki itu disuruh meninggalkan mayat anaknya di klinik berkenaan tetapi warga emas itu enggan berbuat demikian, sebaliknya telah membawa mayat anak perempuannya ke balai polis.
Setibanya di balai polis pada pukul 11.10 pagi, anggota polis yang sedang bertugas terkejut melihat lelaki itu dan ahli keluarganya membawa mayat wanita itu masuk ke balai.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zuklipli Suhaili mengesahkan perkara itu ketika dihubungi pada Selasa.
"Polis kini sedang melakukan siasatan bagi mengetahui punca kematian wanita itu," tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram