SPEKULASI tentang pasukan yang bakal diwakili pemain muda kacukan Malaysia-Jamaica, Kobe Jae Chong dalam Liga Malaysia (Liga-M) semakin rancak menghiasi dada media massa dan elektronik sejak akhir-akhir ini.
Prospek pasukan kebangsaan itu kini dikhabarkan menjadi rebutan kelab-kelab di Malaysia selepas kelab terdahulunya, Peterborough United yang beraksi di League One, England tidak meneruskan khidmatnya.
Pemain berusia 21 tahun baru-baru ini berkongsi di laman Instagram miliknya tentang ketibaannya di Malaysia, sekali gus menghangatkan lagi spekulasi perpindahannya.
Menjengah komen warganet di media sosial, ada peminat yang 'sanggup' mencari lokasi sebenar hotel penginapan Jae Chong.
Tangkap layar 'Insta Story' yang dimuat naik oleh Jae Chong memaparkan beliau kini menginap di sebuah hotel di negara ini.
Rata-rata warganet membuat spekulasi bahawa pemain itu menginap di salah sebuah hotel di Pahang, justeru menguatkan khabar angin bahawa Sri Pahang adalah pilihan pemain tersebut.
Malah, pada Mei lalu, pemain itu pernah berjumpa dengan Presiden Pahang Rangers, Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Namun difahamkan, JDT muncul kelab yang bakal menandatangani Jae Chong pada jendela perpindahan kedua musim ini.
Kelab tersebut dikatakan bakal membawa masuk empat pemain baharu iaitu dua pemain tempatan dan dua pemain asing.
Selain khabar angin tentang Jae Chong, JDT juga akan membawa semula Gonzalo Cabrera bagi memperkuatkan lagi barisan serangan pasukan terbabit.
Tangkap layar hantaran di laman Twitter T.Avineshwaran.
"Bagi JDT, yang dikaitkan dengan mereka adalah Jae Chong dan kemungkinan kembalinya Cabrera, " ciap pemerhati sukan, T. Avineshwaran.
Selain Jae Chong, Sri Pahang juga dijangka bakal membawa masuk Kevin Ingreso dan Steven Rodriguez, manakala Nik Sharif Haseefy pula hampir pasti akan ke Terengganu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram