PEMAIN tengah menyerang (attacking midfielder) pasukan Terengganu FC (TFC), Faiz Nasir telah kembali semula beraksi bersama pasukan Terengganu FC II (TFC II) selepas dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) ekoran sesak nafas yang dialami pada bulan lalu.
Bekas pemain kebangsaan itu juga sudah menjelaskan faktor keletihan, sakit kepala dan kesukaran bernafas adalah punca dia dikejarkan ke hospital untuk mendapat rawatan lebih lanjut.
Pemain berusia 29 tahun itu kini sedang dalam fasa pemulihan yang mana Nafuzi Zain telah meletakkannya bermain dengan pasukan feeder (TFC II) sebelum membenarkan dia beraksi semula bersama pasukan utama.
Faiz kini dalam fasa pemulihan yang mana Nafuzi telah meletakkannya bermain dengan pasukan TFC II. — Facebook
Faiz pernah membantu pasukan Terengganu melangkah ke final Piala Malaysia 2018 selepas menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) pada peringkat separuh akhir.
Sepanjang kariernya di dalam Liga Malaysia (Liga M), Faiz pernah beraksi bersama beberapa pasukan di dalam saingan Liga M seperti Kelantan FC, Felcra FC dan Selangor FC.
Sejak menyertai semula pasukan Terengganu selepas berhijrah ke Selangor pada tahun 2020, Faiz sudah melakukan 28 penampilan bersama satu bantuan gol (assist) sejak beraksi bersama kelab Sang Penyu itu.
Di sosial media pula, peminat sudah tidak sabar untuk menyaksikan gandingan Faiz bersama rakan sepasukannya yang mana selalu menghasilkan gerakan dan umpanan berbahaya bagi pihak lawan.
Komen orang ramai di Facebook berkenaan 'comeback' Faiz dalam pasukan TFC. — Facebook
"Makin bertambah padu, kalau dia main dekat tengah, bahagian sayap tolonglah bagi dekat orang lain, biar bahagian tengah Faiz yang main sebab itu posisi kegemaran dia sejak zaman Irfan Bakti lagi," kata Iqie Muhammad.
"Bagi pendapat saya, AMF sesuai untuk posisi Faiz Nasir, selepas itu gandingkan dia dengan Hakimi Abdullah sebelah sayap kanan dan semestinya sayap kiri kena letak Faisal Halim," ujar Fakrul Yoe.
"Faiz Nasir ini macam Nguyen Quan Hai (Vietnam) dengan Chanathip Songkrasin (Thailand) walaupun halus tapi tetap berbisa," jelas Serban Hijau.
Faiz pernah menjaringkan gol jarak jauh bagi membantu skuad kebangsaan merebut tempat ketiga dan keempat Piala Airmarine pada tahun 2019. — Facebook
Pemain kelahiran Kelantan ini pernah menjadi bualan peminat bola sepak tanah air selepas membantu skuad Harimau Malaya menewaskan Afghanistan, 2-1 dalam saingan merebut tempat ketiga dan keempat Piala Airmarine pada tahun 2019.
Rembatan cantik dari luar kotak penalti pada minit ke 43 menjadi gol pertamanya dalam penampilan sulung bersama skuad kebangsaan dan telah membangkitkan semangatnya untuk terus menyarung jersi skuad Harimau Malaya sekiranya diberi peluang lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram