'Paksa sirih pulang ke gagang', peminat desak 5 pemain kembali ke pangkuan kelab asal


  • Podium
  • Rabu, 01 Jun 2022

Selepas 16 tahun menabur bakti bersama pasukan itu, Baddrol mengambil keputusan menyertai Sabah FC pada musim 2022.

BAGAIKAN sirih pulang ke gagang, inilah peribahasa tepat untuk digambarkan kepada beberapa pemain yang masih ditunggu-tunggu oleh penyokong untuk kembali beraksi dengan pasukan lama mereka.

Jendela perpindahan kedua kali ini seakan membawa angan-angan baharu kepada penyokong yang berharap agar bekas pemain cemerlang mereka dapat kembali menyarung jersi dan membantu memperbaiki mutu permainan dan kedudukan pasukan, sekurang-kurangnya dengan status sebagai pemain pinjaman.

Mana tidaknya, terdapat beberapa pasukan dilihat tempang selepas kehilangan pemain harapan mereka sehingga kedudukan mereka dalam carta Liga Super dan Liga Premier tidak seperti diharapkan musim ini.

Meskipun tampak mustahil, tiada yang menghalang hasrat peminat untuk terus memasang impian supaya pasukan kesayangan kembali diperkuatkan bekas pemain masing-masing.

Berikut merupakan senarai pemain yang ditagih oleh penyokong untuk kembali beraksi bersama pasukan lama;

1) Badrrol Bakhtiar

Sehingga kini penyokong masih menyebut-nyebut nama bekas kapten Kedah Darul Aman (KDA) FC, Baddrol Bakhtiar untuk kembali beraksi bersama Sang Kenari dan ramai mengharapkan agar impian itu menjadi kenyataan pada jendela perpindahan kedua.

Selepas pemain legenda Kedah berhijrah ke Sabah FC pada awal musim 2022, KDA FC seakan terumbang-ambing musim ini dan perkara itu dapat dilihat apabila skuad berkenaan dimalukan beberapa kali oleh pasukan lawan.

Contohnya, pada perlawanan menentang Sabah FC, Baddrol berjaya membawa Sabah menang 4-0 ke atas KDA FC yang mana ketika itu beliau berjaya mengunci pergerakan pemain tengah Sang Kenari, Dechi Marcel N'Guessan.

Dechi dikenali sebagai pemain cemerlang musim ini bersama KDA FC kerana ketangkasannya mencatur permainan namun bagi penyokong setia Sang Kenari menyifatkannya tidak setanding Baddrol.

2) Rizal Ghazali

RIZAL

Rizal memberitahu penghijrahannya ke Sabah FC kerana ingin bermain di bawah tunjuk ajar Kim Swee

Seorang lagi bekas tonggak skuad Hijau Kuning yang didesak kembali ke pangkuan KDA FC iaitu Rizal Ghazali yang sebelum ini mengikut jejak langkah Baddrol berhijrah ke skuad di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Rizal yang telah menyumbang bakti untuk Kedah selama lapan tahun bermula 2014, pastinya membuatkan penyokong merindukan aksi pemain itu di atas padang dalam mengawal jentera pertahanan KDA FC.

Bersama KDA FC, Rizal membuktikan kewibawaannya dalam menjadi antara tunjang di jentera pertahanan sehingga berjaya membantu kelab tersebut menjuarai Piala Malaysia 2016 serta Piala FA 2017 dan 2019.

3) Juan Martin Lucero

JUAN

Lucero meninggalkan JDT kerana tawaran dari kelab Mexico, Club Tijuana.

Khabar angin bertiup kencang dalam kalangan penyokong Johor Darul Takzim (JDT) apabila pemain berasal dari Argentina, Juan Martin Lucero itu dikatakan akan kembali ke pasukan Harimau Selatan.

Meskipun hanya bermain semusim bersama skuad itu Lucero berjaya merekodkan 37 penampilan dalam semua pertandingan dengan 2,900 minit masa bermain, menjaringkan 27 gol secara keseluruhannya.

Lucero meninggalkan JDT kerana mendapat tawaran RM11.5 juta daripada kelab di Mexico, Club Tijuana dan pemergiannya itu meninggalkan kesan mendalam kepada penyokong kerana beliau berjaya membantu pasukan Harimau Selatan memenangi kejuaraan Liga Super, Piala FA serta Piala Sumbangsih.

4) Manuel Gelito Ott

MANUAL OTT

Ott dikenali sebagai perancang permainan sepanjang bersama Melaka United.

Selepas Terengganu FC mengikat pemain kacukan Filipina-Jerman Manuel Gelito Ott, tinjauan di media sosial menunjukkan penyokong Melaka United FC masih merindukan kelibat pemain berkenaan menyarung jersi pasukan itu.

Penyokong Melaka United menyifatkan keputusan pengurusan melepaskan Ott adalah satu kerugian yang besar kerana beliau merupakan pemain yang cukup konsisten pada musim lalu dan sering menjadi kesebelasan utama skuad Hang Tuah.

Musim 2021, Ott beraksi bersama Melaka United dan membuat 22 penampilan liga serta menjaringkan dua gol dan merekodkan satu bantuan hantaran.

5) Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi

SHAHREL

Shahrel meninggalkan Perak FC pada 2021.

Bekas penyerang pasukan Perak FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi meninggalkan pasukan itu dengan diumumkan sebagai tonggak baharu Selangor bagi musim 2021 dan perkara itu sememangnya menyedihkan penyokong The Bos Gaurus.

Namun, impian penyokong Sang Seladang bagaikan mimpi menjadi kenyataan apabila bekas penyerang The Bos Gaurus itu dikatakan bakal kembali ke Stadium Perak pada bila-bila masa sebaik jendela perpindahan pemain dibuka semula kali ini.

Tidak mustahil Shahrel kembali menemui sentuhan sebenar apabila dilaporkan hanya meledak satu gol sepanjang bersama Selangor musim ini, jadi kehadiran semulanya bersama Perak FC boleh dianggap satu keputusan yang tepat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram