Sinus punca Syahmi Safari terlepas aksi lawan Hong Kong


  • Podium
  • Selasa, 31 Mei 2022

Syahmi Safari (kiri) tidak akan beraksi dalam perlawanan menentang Hong Kong pada Rabu.

PEMAIN pertahanan kiri Harimau Malaya, Muhammad Syahmi Safari pada Selasa dilepaskan dari kem latihan pusat skuad kebangsaan sekali gus tidak akan beraksi menentang Hong Kong pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon berkata, keputusan itu dibuat disebabkan masalah sinus Muhammad Syahmi disahkan semakin teruk selepas beliau menjalani ujian perubatan pada pagi Selasa.

Pan-gon berkata, atas nasihat doktor pakar, pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu perlu menjalani rawatan susulan dengan segera.

"Kami barisan kejurulatihan dan perubatan pasukan yang sentiasa mengutamakan kesihatan serta keselamatan pemain, bersetuju melepaskan Muhammad Syahmi dari kem latihan pusat kali ini supaya beliau dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini.

"Dengan ketiadaan Muhammad Syahmi, baki 29 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat termasuk bagi menghadapi Hong Kong malam esok dan tiada penambahan pemain baharu buat masa ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, JDT dalam kenyataan memaklumkan Muhammad Syahmi akan dimasukkan ke hospital pada Rabu sebagai persiapan menjalani pembedahan yang dijadual Khamis ini.

Bagaimanapun, tiada kepastian sama ada pemain itu sempat kembali cergas untuk menyertai semula pasukan bagi menghadapi tiga perlawanan dalam saingan Kumpulan E pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 bermula minggu depan.

Muhammad Syahmi diturunkan dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan ketika menewaskan Brunei 4-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional, Jumaat lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram