‘Naturalisasi berlambak, anak jati dah boleh tukar bidang lupakan bola sepak’


  • Podium
  • Rabu, 01 Jun 2022

Liridon telah mendapat kerakyatan Malaysia pada tahun 2020 selepas menepati syarat FIFA menetap di negara ini selama lima tahun. — Facebook/FAM

REAKSI bercampur-baur berhubung lambakan pemain naturalisasi dan pemain warisan kembali menghangatkan dunia bola sepak tanah air.

Gergasi Selatan, Johor Darul Takzim (JDT) juga disebut-sebut bakal diperkuatkan dengan kemasukan pemain naturalisasi baharu yang bakal ditandatangani oleh mereka pada jendela perpindahan kedua musim ini.

Terdapat khabar angin mengatakan Gonzalo Cabrera merupakan pemain yang bakal mengisi slot pemain tempatan selepas Tengku Mahkota Johor (TMJ) sebelum ini dilaporkan pernah menyatakan hasrat untuk naturalisasikan pemain tersebut.

Lee-Tuck-Sergio-Aguero-Sri-Pahang

Lee Tuck dan Aguero didakwa sudah memiliki passport Malaysia yang melayakkan mereka untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan. — Facebook

Selain JDT, pasukan Sri Pahang FC pula dikhabarkan akan mendaftar dua pemain import yang didakwa sudah mendapat kerakyatan Malaysia iaitu Lee Tuck (England) dan Sergio Aguero (Argentina) pada jendela perpindahan kali ini.

Selepas tersebarnya berita tentang pendaftaran pemain naturalisasi dalam Liga Malaysia (Liga M), peminat bola sepak seperti tidak bersetuju kerana mereka berpendapat pemain ini tidak akan membantu pasukan kebangsaan.

Tidak hairanlah, seorang peminat bola sepak, Trick Ster di dalam Facebook menyatakan pemain tempatan sudah boleh melupakan hasrat untuk bermain bola sepak bagi pasukan kebangsaan selepas dia berkongsi gambaran formasi 4-4-3 lambakkan pemain naturalisasi dan pemain warisan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya.

WhatsApp Image 2022-05-31 at 5.34.02 PM

Kesebelasan utama Harimau Malaya jika dibarisi oleh pemain naturalisasi dan warisan. — Facebook

Penjaga Gol: Farizal Marlias (Pemain Tempatan)

Bek Kanan: Matthew Davies (Pemain Warisan)

Bek Tengah: Dion Cools (Pemain Warisan)

Bek Tengah: Junior Edstal (Pemain Warisan)

Bek Kiri: Corbin Ong (Pemain Warisan)

Pemain Tengah: Liridon Krasniqi (Pemain Naturalisasi)

Pemain Tengah: Lee Tuck (Pemain Naturalisasi)

Pemain Tengah Menyerang: Sergio Aguero (Pemain Naturalisasi)

Sayap Kanan: Mohamadou Sumareh (Pemain Naturalisasi)

Sayap Kiri: Gonzalo Cabrera (Pemain Naturalisasi)

Penyerang: Guilherme De Paula (Pemain Naturalisasi)

WhatsApp Image 2022-05-31 at 5.28.36 PM

Komen orang ramai di Facebook berkenaan 'harimau import' dalam pasukan kebangsaan. — Facebook

Kenyataan beliau disokong oleh majoriti peminat bola sepak tanah air kerana sejak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memulakan projek naturalisasi, banyak pasukan dalam Liga M seakan-akan berlumba-lumba untuk naturalisasikan pemain import mereka sedangkan projek itu boleh dianggap gagal.

"Lagu Negaraku nanti penonton sahaja yang menyanyi, itu pun kalau ada penonton Malaysia, kalau stadium kosong tak adalah nyanyian itu," tulis Mohamad Amir.

"Kalau kacukan saya masih boleh terima, tapi kalau naturalisasi itu tak perlu pun tak apa, main untuk Malaysia macam tak pernah main bola," kata Muhammad Danish.

"Jika perkara ini bagus, kita akan dapat pemain tempatan yang berkualiti macam Arif Aiman, sebab nak masuk Asia kita perlu hebat seperti level Asia, jangan jadi jaguh kampung sahaja," jelas Imran Ismail.

De-Paula1

Penyokong Malaysia kecewa dengan prestasi yang ditunjukkan oleh De Paula sepanjang beraksi bersama pasukan Malaysia. — Facebook

Penyokong Harimau Malaya berasa kecewa dengan persembahan tiga pemain naturalisasi negara ketika ini iaitu De Paula, Liridon dan Sumareh sehingga menyebabkan pasukan kebangsaan gagal melayakkan diri ke pusingan ketiga Piala Dunia 2022 walaupun sebelum itu beraksi baik.

Tidak dinafikan pemain naturalisasi sedia ada dilihat masih lagi gagal untuk mencipta impak positif bagi pasukan negara dalam beberapa kejohanan serta perlawanan persahabatan antarabangsa yang dihadapi setakat ini.

Walaupun FAM telah mengumumkan tiada lagi kelibat 'harimau import' bagi memperkasa skuad kebangsaan tetapi situasi itu tidak menghalang kelab Liga M untuk terus naturalisasikan pemain import mereka bagi memperkuatkan pasukan masing-masing dalam saingan domestik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram