PEMAIN import Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dari Korea Selatan, Jang Suk-won menjadi pemain import pertama yang mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Sang Kenari sebaik jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dibuka pada Sabtu.
Penamatan kontrak lebih awal kepada Suk-won telah dipersetujui bersama dengan KDA FC baru-baru ini.
Ia selepas mengambil kira permohonan pemain pertahanan berusia 33 tahun itu untuk mendapatkan rawatan pemulihan jangka panjang.
KDA FC menerusi kenyataan pada Sabtu berkata, meskipun bermula baik di saingan awal Liga Super, beberapa siri kecederaan pemain selain bergelut dengan prestasi semasa, slot Asia akan diisi oleh pemain baharu dalam masa terdekat bagi mengisi slot yang dikosongkan.
Katanya, Suk-won kembali ke Korea Selatan pada Jumaat dan sempat mengucapkan salam perpisahan bersama rakan sepasukan.
"Apapun, nama Jang Suk-won akan dikenang sebagai pemain Korea Selatan ketiga skuad Sang Kenari, selepas Bang Sung-Hwan dan Namkung Wong-Jang. Biar jasa jadi kenangan," katanya.
Mengulas mengenai corak permainan Suk-won, peminat Sang Kenari, Laporpo Natakungsi berkata, pemain tersebut disifatkan bagus sekiranya dia tidak mengalami kecederaan.
Sebagai contoh, katanya, ketika Suk-won menyertai skuad Melaka, banyak serangan dari Kedah berjaya dipatahkan semasa pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada 2021.
"Kedah tewas 1-3 di Darul Aman. Ketika itu Bad (Baddrol Bakhtiar) dan Rizal (Rizal Ghazali) bersama Kedah," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Bersetuju dengan perkara itu, Hemizainal Abd Hamid menulis: "Ya, Dia kat Melaka memang perform. Mai Kedah dia dah mula injury (cedera), tu yang tengok dia lemah tu."
Turut berpendapat sama, Mat Khosim Mat Safar berkata, Suk-won pada peringkat awal penampilannya disifatkan 'okay' kerana masih belum mengalami kecederaan.
"Bila lepas game (perlawanan) ketiga nampak Rodney pun sibuk menampung tempat dia sebab dia tak fit sepenuhnya dan mula perlahan dalam tindak balas dari serangan lawan," katanya.
Untuk rekod, Suk-won adalah antara pemain liga domestik yang tidak mempunyai media sosial rasmi miliknya sendiri.
Kedah pernah menggunakan khidmat pemain Korea Selatan, Namkung-wong pada musim 2014, manakala Bang Seung-hwan pula menyertai Kedah bermula musim 2015 hingga 2016.
Selain Suk-won, tanda tanya berhubung status empat lagi pemain import Kedah musim ini iaitu Marc Vales, Dechi Marcel, Dennis Buschening dan Ronald Ngah juga masih dinantikan penyokong pada jendela perpindahan kedua musim ini yang bermula Sabtu hingga 24 Jun depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram