LIGA Perdana Inggeris (EPL) boleh dikatakan sebagai liga paling banyak peminat dari segenap dunia sehingga ada juga yang sanggup menghabiskan wang ringgit demi melihat pasukan kegemaran bermain di hadapan mata.
Ini tidak kira sama ada mereka sanggup melanggan saluran berbayar untuk menonton perlawanan kelab yang diminati atau berbelanja membeli jersi pasukan kesayangan.
Di Malaysia juga tidak kurang fanantiknya peminat kelab EPL kerana lihat sahaja di laman media sosial seperti Facebook, puluhan kumpulan ditubuhkan sebagai tanda sokongan dan medium perbincangan kelab kegemaran mereka.
Jika dibandingkan dengan Liga Malaysia (Liga M) tidak dapat dinafikan memang ada penyokongnya tersendiri namun tidak sebanyak peminat kelab EPL dan perkara ini dapat dibuktikan dengan trending di laman media sosial yang rata-ratanya membincangkan perlawanan liga paling popular di dunia itu.
Sehubungan dengan itu, terdapat warganet mengemukakan bahawa Liga M semakin hanyut dengan beberapa faktor sehingga menyebabkan penyokong semakin kurang berminat untuk memberi sokongan atau konsisten mengikuti perkembangan arena bola sepak negara.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan lima faktor menjadikan Liga Malaysia semakin kurang mendapat tempat dalam kalangan penyokong.
1) Kamera
Permainan sudut kamera menjadi salah satu faktor penyokong lebih gemar menonton EPL berbanding Liga M kerana jika dilihat pada perlawanan EPL di televisyen pasti kualiti yang dipaparkan jauh berbeza dengan siaran liga di Malaysia.
Antara rungutan penyokong bola sepak tanah air mengenai permainan kamera Liga Malaysia ialah tidak memaparkan dengan jelas setiap minit perlawanan yang mana menyebabkan penonton kehilangan detik penting perlawanan dan aksi pemain.
Sebagai contoh, ketika penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT), Farizal Marlias cedera bertembung dengan Shane Lowry, detik itu dirakamkan dengan tidak cukup jelas kerana sudut kamera yang kurang tepat.
Tidak banyak kamera digunakan dalam satu-satu perlawanan untuk membolehkan penonton menilai dan memahami keadaan sebenar serta keputusan yang dibuat pengadil jika berlaku offsaid atau pembatalan gol.
2) Kualiti permainan
Faktor kedua pula ialah kualiti permainan yang dipersembahkan oleh pasukan-pasukan Liga Malaysia adalah tidak memuaskan hati penyokong kerana mereka sifatkan pemain hanya bermain di peringkat 'kampung'.
Kritikan yang sering dilontarkan mengenai corak permainan ialah cara pemain melambung bola (hantaran jauh) yang tidak tepat, hantaran tidak sampai kepada rakan sepasukan, serangan ala kadar dan hanya mampu bertahan sehingga wisel berbuyi.
Seperti permainan yang ditunjukkan oleh pasukan Kedah kebelakangan ini, rata-rata penyokongnya mengkritik kualiti persembahan skuad itu sehingga ada yang menyalahkan taktikal jurulatih KDA FC, Aidil Shahrin.
Sepanjang sembilan perlawanan KDA FC pada Liga Super, tiga daripadanya mencatat kekalahan sebanyak dan dua permainan direkodkan seri.
3) Campur tangan politik
Unsur politik yang mengganggu Liga Malaysia ibarat barah dan menjadi duri dalam daging bola sepak tanah air sehingga menyebabkan penyokong berputus asa dengan kelab kegemaran mereka apabila muncul campur tangan daripada ahli politik.
Campur tangan politik dikatakan menjadi faktor kepada masalah tunggakan gaji dialami oleh beberapa kelab dalam Liga Malaysia seperti pasukan Perak FC dihimpit kemelut itu sebelum dibantu pemilik baharu, XOX Bhd.
Sebelum ini, media melaporkan kemelut itu bermula apabila tindakan Ahmad Faizal Azumu selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa),'melarikan diri' dengan melepaskan jawatan itu bagi mengelakkan dirinya daripada didakwa di mahkamah selepas tunggakan gaji pemain itu masih terlibat sejak November 2021.
Boleh dikatakan setiap kelab ada campur tangan politiknya sendiri seperti yang sering dibangkitkan penyokong kelab masing-masing.
Tetapi sejauh mana pengaruh politik sama ada ke arah kebaikan atau kehancuran, hanya mereka saja yang tahu.
Pasukan Perak FC berjaya keluar dari masalah gaji dengan bantuan dari pemilik baharu XOX Bhd.
4) Mutu pengadilan
Setiap musim pasti saja ada kontroversi yang tercetus melibatkan keputusan pengadil.
Isu pengadilan buruk ini bukan saja berlaku di Malaysia tetapi boleh dikatakan hampir setiap liga di dunia mengalami.
Malah ini dibuktikan lagi dengan hukuman yang dikenakan terhadap beberapa pengadil perlawanan Liga Super musim ini atas kesalahan membuat keputusan yang tepat seperti berlaku dalam perlawanan antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC.
Dalam perlawanan itu, Sri Pahang menghasilkan gol menerusi Johan Martial pada minit ke-80, namun dibatalkan pengadil, Mohd. Hasrol Mohd. Amir kerana didakwa terdapat kekasaran dilakukan.
Selain itu, percubaan pemain Tok Gajah pada minit-minit terakhir perlawanan gagal dikesan pengadil bola sudah melepasi garisan gol sepenuhnya sebelum ditanduk keluar oleh pemain Kedah, Azamuddin Akil.
Maka tidak hairanlah penyokong masih berharap agar Liga M menggunakan sistem video bantuan pengadil (VAR) dalam Liga Malaysia bagi membantu memperbaiki mutu pengadilan.
Tetapi usaha itu nampaknya sukar direalisasi dengan pelbagai alasan dikemukakan termasuk soal kos dan tenaga kerja.
Perlawananan PJ City menentang Melaka United pada Liga Super 2021.
5) Dominasi sesebuah kelab
Jika dibandingkan dengan Liga EPL, penyokong Malaysia seakan boleh meneka siapakah pemenang dalam Liga M khususnya Liga Super meskipun musim belum memasuki separuh pusingan perlawanan.
Dengan mempunya fasiliti yang serba canggih dan lengkap, pemain berpengalaman, latihan berintensiti tinggi, JDT dilihat sebagai mendominasi Liga M sejak 2013 sehingga penyokong lain merasakan pasukan itu sudah tidak mempunyai pesaing.
Stastistik berbicara apabila JDT masih belum tewas dalam saingan liga pada musim ini dengan melakar lima kemenangan dan satu seri daripada enam perlawanan Liga Super dan dilihat lebih mendominasi apabila skuad Harimau Selatan merupakan kelab pertama Malaysia yang berjaya mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-juara Asia (ACL). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram