Seri tanpa jaringan, ini 5 poin penting aksi TRW-Kelantan United


  • Podium
  • Sabtu, 28 Mei 2022

Aksi Kelantan FC dan Kelantan United pada malam Jumaat menyaksikan kedua-duanyanya seri tanpa jaringan. — Facebook/Kelantan United

AKSI Liga Premier antara dua seteru derbi, Kelantan FC dan Kelantan United menyaksikan kedua-duanya seri tanpa jaringan pada Jumaat.

Perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras, Kuala Lumpur itu menyaksikan The Red Warriors (TRW) kini mengumpul 22 mata, hanya dipisahkan satu mata berbanding pencabar terdekat iaitu Johor Darul Takzim II (JDT II) yang meraih kemenangan 3-2 ke atas Selangor II dalam satu lagi aksi Liga Premier.

Pemerhati sukan TRW, Zuraimi Mohd Zukri tampil memberi rumusan sepanjang perlawanan itu:

1) Tidak guna peluang jaringkan gol

Zuraimi berkata, terdapat dua punca kedua-dua pasukan tidak berjaya meledak sebarang gol.

Beliau berkata, keduanya-duanya tidak langsung mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

Selain itu, katanya kedua-dua pasukan juga dilihat mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, namun gagal memanfaatkan peluang tersebut.

"Sebagai contoh, Nurshamil Ghani melepaskan percubaan tinggi di hadapan pintu gol terbuka. Sebelum itu, tandukan pemain Kelantan dikeluarkan oleh Suhai Fukei ketika bola menuju ke gawang mereka.

"Dengan lapan percubaan tepat dari kedua-dua pasukan, majoritinya adalah peluang baik untuk kedua-dua pasukan menjaringkan gol.

"Namun aksi cemerlang dari pemain pertahanan melakukan penyelamat akhir dan penyerang tidak tenang menyebabkan kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol.

"Bermakna 0-0 bukan kerana tiada peluang untuk menjaringkan gol tetapi lebih kepada tidak memanfaatkan peluang," katanya kepada Majoriti.

2) Kelantan United adalah Kelantan sebelum era Norizam

Sementara itu, Zuraimi percaya bahawa Kelantan United boleh dikatakan sebagai pasukan Kelantan FC sebelum era pemiliknya, Norizam Tukiman.

Hal ini kerana, jelasnya, majoriti pemain Kelantan telah berhijrah ketika Norizam melakukan rasionalisasi kewangan kelab.

"Selepas dua tahun mereka di sana dengan kemasukan beberapa pemain telah membawa pasukan ini berada di tahap terbaik.

"Ini termasuk Faisal Rosli yang mempunyai pengalaman luas Liga Super; Amidu Salifu yang jauh lebih baik; Yuki Tanigawa dan Jacob Njoku yang setaraf dengan Gassama Al-Fussainey," katanya.

3) Corak permainan Kelantan United agak baik

Bercakap mengenai corak permainan, Zuraimi tidak menafikan Kelantan United adalah agak baik kerana fungsi di bahagian tengahnya lebih jelas, yang mana banyak disumbangkan oleh peranan Amidu Salifu yang dikenali sebagai The Destroyer.

Selain itu, Kelantan United juga mempunyai penyerang sayap yang signifikan iaitu Jacob Njoku dan Amirul Shafik, yang sebelum ini menyumbang tujuh gol dan lima bantuan jaringan.

Jelasnya, meskipun corak permainan mereka lebih baik berbanding musim lepas, namun mereka masih mempunyai masalah di bahagian centre-forward manakala 3 centre-forward mereka masih gagal menjaringkan sebarang gol.

"Ketajaman di bahagian wing-attacker jadi tidak sempurna kerana masalah centre-forward, dan itu membuatkan mereka hanya mampu menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan.

"Jika mereka dapat menyelesaikan masalah tersebut, mereka mungkin antara pencabar kejuaraan," katanya.

4) Tekanan dari JDT II

Ketika ditanya sama ada Kelantan FC mendapat tekanan dari JDT II, Zuraimi berkata, tekanan itu bukan hanya dihadapi oleh TRW, malah semua pasukan lain di Liga Premier sentiasa menghadapi perkara sama.

Apatah lagi, katanya JDT II juga boleh menggunakan mana-mana pemain dari pasukan utama JDT I.

"Disebabkan peraturan feeder club yang membenarkan pemain pasukan utama boleh berpindah ke pasukan feeder, membuatkan mereka sukar dibaca oleh pasukan lain," katanya.

5) Prestasi pemain import TRW

Selain itu, Zuraimi juga memberi ulasan mengenai beberapa pemain import Kelantan FC:

a) Nixon Guylherme Brizolara

Penyerang itu mempunyai sikap baik untuk membuatkan 'dressing room' berada dalam keadaan positif.

Kemampuannya terhad tetapi dia merupakan 'hardworking player'.

Dia ada memberi sumbangan lain di luar padang. Setakat ini, dia telah menyumbang tiga jaringan dan dua bantuan (assist). Ia baik dari sudut statistik.

b) Fadel Mohammad Antar

Penyerang itu hadir lewat pada perpindahan awal musim dan hanya bermain dua kali.

Dia dijangka bakal dikeluarkan pada jendela perpindahan tengah musim.

Dia cuma pemain pinjaman, jadi tidak sukar untuk mengeluarkannya. Dia juga sudah tidak kelihatan bersama pasukan ketika sesi latihan.

c) Kervens Fils Belfort

Pemain berusia 30 tahun itu merupakan pemain import paling disayangi oleh peminat Kelantan FC.

Namun, sejak dua perlawanan terakhir, dia tidak cergas dan tidak berada dalam kesebelasan utama menentang Kelantan United.

d) Natanael Siringo Ringo

Corak permainan dari pemain import sayap kanan dari Indonesia itu disifatkan sebagai baik, dalam sudut prestasi permainan dan perniagaan Norizam yang mahu melebarkan perniagaannya ke negara jiran tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram