Panggilan Harimau Malaya, pesanan bos untuk Nurshamil


  • Podium
  • Selasa, 12 Apr 2022

Nurshamil (tengah) menampilkan aksi konsisten bersama Kelantan FC pada musim lalu. — Facebook TRW Kelantan FC

KETIADAAN pemain yang mampu menggalas tugas penyerang utama skuad bola sepak kebangsaan sudah tentu merungsingkan ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon.

Pada perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum ini, pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad berperanan sebagai 'False 9' di bahagian serangan Harimau Malaya.

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Guilherme De Paula sering menjadi pilihan mengisi posisi penyerang kebangsaan ketika Tan Cheng Hoe melatih skuad negara.

Namun prestasi De Paula tidak seperti diharapkan oleh para peminat bola sepak tempatan.

Nama pemain Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani menjadi bualan penyokong tanah air susulan kecemerlangan sepanjang bermain bersama The Red Warriors (TRW) sejak 2021.

Nurshamil merupakan pemenang anugerah Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier 2021 selepas menjaringkan sembilan gol pada musim berkenaan.

Pemain berusia 28 tahun itu memulakan kempen Liga Premier dengan kecederaan.

Sekembalinya daripada kecederaan, Nurshamil berjaya menyumbat satu gol pada perlawanan ketiga menentang UiTM FC pada 25 Mac lalu.

Screenshot 2022-04-11 172102

Zamburger mahu Nurshamil kekal fokus bersama Kelantan FC. — Facebook

Bagi pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamburger, isu sama ada Nurshamil patut dipilih atau tidak mewakili skuad kebangsaan perlu diketepikan buat masa ini.

"Pada saya, perkara itu adalah nombor dua. Paling penting, dia fokus bermain untuk Kelantan FC dan bersama-sama membina semula pasukan," katanya kepada Majoriti.

Harimau Malaya akan memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun bertemu Turkmenistan, Bahrain serta Bangladesh dalam Kumpulan E. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram