Bekas pemain TRW bongkar kontroversi tunggakan gaji


  • Podium
  • Khamis, 14 Apr 2022

Nazrin Nawi (kiri) ketika bersama Kelantan. — Facebook

PASUKAN Liga Premier, Kelantan FC ketika ini dilaporkan berdepan isu bayaran gaji beberapa pemain musim 2019/2020 yang masih tidak dibayar sehingga hari ini.

Kelab itu dalam satu kenyataan pada Isnin menjelaskan bahawa pihaknya telah menyelesaikan bayaran gaji pemain kecuali empat individu yang menolak untuk menerima gaji yang ditawarkan oleh pihak pengurusan pada November 2020.

Menurut kenyataan itu, empat pemain tersebut adalah Nazrin Nawi, Farisham Ismail, Nik Akif Syahiran dan Muhammad Shahrul Nizam yang menuntut untuk dibayar dengan gaji penuh.

Kes tersebut sudahpun dibawa kepada pihak Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) oleh pemain-pemain terbabit.

Salah seorang pemain tersebut, Nazrin Nawi yang kini mewakili pasukan Liga M3, Respect FC mendedahkan isu sebenar yang berlaku antara mereka dan pengurusan kelab.

"Memang kes ini dibawa ke PFAM dah tetapi pihak anda tangguh. Mula-mula nak bayar bulan November... lepas tu pertengahan bulan Disember... lepas tu pula hujung bulan Disember.

"Macam-macam penagguhan sampai ke hari ini... siap ambil nombor akaun lagi nak masukkan... tapi tak masuk-masuk juga," katanya dalam satu hantaran Instastory pada Khamis.

Tambahnya, terdapat seorang lagi pemain yang tidak disebut dalam kenyataan itu iaitu Mohd Azrul Ahmad yang turut menuntut gaji penuh.

Dalam pada itu, Kelantan FC berkata, pihaknya sedang meneliti tersebut dengan lebih lanjut dan akan bertindak sewajarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram