KELANTAN FC bermula garang pada musim ini apabila mencatatkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan awal Liga Premier.
Rentak cemerlang The Red Warriors (TRW) bermula apabila menundukkan pasukan pilihan, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dengan keputusan 2-1, disusuli menang ke atas Skuad Projek FAM-MSN 1-0 dan UiTM FC 3-0.
Prestasi mantap yang ditonjolkan membolehkan TRW berkongsi kedudukan dengan JDT II namun Kelantan FC kurang satu perlawanan.
Menurut pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamburger, perjalanan masih jauh buat pasukan tersebut.
"Baru tiga perlawanan, kami bermula dengan baik dan saya mengharapkan akan berakhir dengan baik juga.
"Saya bercakap dengan ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya dan para pemain. Ini baru permulaan.
"Setiap perlawanan adalah umpama perlawanan pertama bagi kami," katanya kepada Majoriti.
Zamburger menegaskan perjalanan Kelantan FC masih jauh.
TRW akan bertemu Kuching City dalam perlawanan keempat Liga Premier pada Isnin.
TRW yang dibarisi tonggak utama seperti Nurshamil Abd Ghani, Kervens Belfort dan Fadel Antar tentunya mahu meneruskan momentum kemenangan ketika berkunjung ke Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada Isnin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram