PENYERANG Terengganu FC II (TFCII), Jordan Mintah tidak berasakan prestasinya sudah merudum walaupun rekod jaringannya nampak sedikit perlahan di permulaan musim ini.
Menurut Mintah, apa yang lebih penting adalah sumbangan kepada pasukan malah dia merasakan lima jaringan setakat ini dalam lapan perlawanan tetap sebagai satu rekod yang memuaskan.
Justeru, dia mengharapkan kejayaan meledak dua jaringan pada perlawanan terakhir ketika berdepan Kuching City FC akan menambahkan lagi keyakinannya bagi membantu TFC II memburu kejuaraan Liga Premier.
"Saya rasa tidak tepat untuk menilai prestasi secara keseluruhan hanya berpandukan kerana jumlah gol tetapi apa yang saya mampu sumbangkan bagi membantu kemenangan pasukan.
"Setakat ini saya berpuas hati dengan apa yang telah sumbangkan kepada pasukan malah sebelum aksi berdepan Kuching City, saya rasakan jumlah tiga gol itu bukanlah sesuatu yang sangat teruk.
Jordan Mintah sebelum ini dikatakan merajuk kerana tidak dapat beraksi untuk skuad TFC di dalam Liga Super. — Agensi
"Cuma selepas dua jaringan berdepan Kuching City, saya rasa itu sedikit sebanyak menaikkan lagi moral buat saya selaku penyerang bagi menghadapi perlawanan akan datang," katanya.
Musim lalu memperlihatkan Mintah muncul penjaring terbanyak Liga Premier berkongsi kedudukan dengan Fernando Rodriguez dari JDT II menerusi catatan 16 gol.
Namun, permulaan Mintah nampak sedikit berbeza untuk musim ini apabila sentuhan jaringannya agak sederhana apabila meledak tiga gol dalam tujuh perlawanan.
Bagaimanapun, dia kini kembali berada dalam senarai pencabar penjaring terbanyak Liga Premier melalui lima gol di belakang Rodriguez, Njoku Jacob (Kelantan United FC) dan Martin Adamec (PDRM FC) yang masing-masing melakukan enam jaringan.
Jordan Mintah (dua dari kanan) bersama rakan sepasukannya.
Berdepan Skuad Projek FAM-MSN pada Sabtu, Mintah tidak berasakan perlawanan itu akan satu aksi mudah buat TFC II.
"Jangan sama sekali pandang rendah kepada Skuad Projek, saya tahu pasukan ini ada ramai bakat baharu yang bakal menjadi pemain hebat satu hari nanti.
"Musim lalu, saya mungkin menjaringkan empat gol semasa berdepan mereka tetapi situasi kali ini pasti berbeza.
"Saya harap tumpuan dan kesungguhan kami dalam perlawanan ini, sama sahaja seperti perlawanan lain bagi mencari satu lagi kemenangan buat pasukan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram