Piala Asia B-23 misi sebenar, tak perlu tertekan — Hamidin


  • Podium
  • Jumaat, 27 Mei 2022

Sebahagian daripada aksi skuad bola sepak B23 negara ketika bertemu Indonesia pada Sukan SEA Vietnam. — Facebook

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tidak mahu kisah di Sukan SEA ke 31 di Hanoi, Vietnam terus membayangi skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B23) negara.

Sebaliknya, beliau yakin skuad di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Brad Maloney itu mampu melakar keputusan baik sekiranya kekal fokus dan mempamerkan kesungguhan tinggi dalam saingan Piala Asia B23 2022 di Tashkent, Uzbekistan pada 1 Jun hingga 19 Jun depan.

"Saingan Piala Asia B23 2022 adalah misi sebenar skuad muda negara selepas menggalas cabaran di Sukan SEA Vietnam. Jangan cepat berpuas hati, pemain-pemain kena berikan aksi lebih baik. Mereka perlu kekal fokus dan tidak perlu tertekan kerana kita sedar kejohanan pentas Asia ini lebih mencabar.

"Berdepan juara bertahan Republik Korea dan dua pasukan musuh serantau Thailand dan Vietnam dalam saingan Kumpulan C bukan mudah namun itu tidak bermakna kita tidak ada peluang," katanya.

282006682_706782537061652_1980488094596153084_n

Hamidin sewaktu bertemu dengan pemain bola sepak B-23 negara.

Hamidin berharap, skuad B23 akan berjuang habis-habisan hingga titisan keringat yang terakhir dalam kejohanan berkenaan.

Skuad B23 akan berlepas ke Tashkent pada Ahad ini sebelum memulakan kempen Kumpulan C berdepan Korea Selatan pada 2 Jun, Thailand (5 Jun) dan Vietnam (8 Jun).

Dalam perlawanan pingat gangsa Sukan SEA Hanoi pada Ahad lepas, Malaysia tewas 3-4 kepada Indonesia dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam perlawanan selama 90 minit yang memaksa pemenang ditentukan melalui ‘loteri’ tanpa memasuki masa tambahan 30 minit.

Keputusan itu bermakna skuad negara gagal meraih sebarang pingat pada Sukan SEA buat kali kedua berturut-turut selepas skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee merangkul pingat perak pada edisi Kuala Lumpur 2017.

Kali terakhir Malaysia memenangi ‘ibu segala pingat’ Sukan Sea pada edisi 2011 di Indonesia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram