SKUAD hoki lelaki negara mengesahkan tiket beraksi di Piala Dunia 2023 selepas India selaku tuan rumah kejohanan berprestij itu mara ke saingan Super 4 Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia.
The Speedy Tigers, mempamerkan aksi yang baik apabila berjaya melakar rekod cemerlang tanpa kalah dengan membelasah Oman 7-0 pada Isnin (23 Mei), diikuti kemenangan ke atas Korea Selatan 5-4 pada Selasa (24 Mei).
Pasukan bimbingan Arul Selvaraj telah mara ke saingan Super 4 selaku juara Kumpulan B selepas menang ketiga-tiga perlawanan termasuk menewaskan Bangladesh 8-1 pada Khamis.
Kejayaan ini merupakan kali yang kesembilan buat pasukan kebangsaan menyertai Piala Dunia Hoki dengan kali terakhir Malaysia layak ke kejohanan tersebut adalah pada edisi 2018 di India yang menyaksikan mereka menduduki tempat ke-15.
Skuad hoki lelaki negara mengesahkan tiket beraksi di Piala Dunia 2023 di India. — Facebook
Dengan kejayaan skuad hoki negara, rata-rata peminat sukan tanah air mempersoalkan mutu bola sepak negara yang dilihat masih di takuk lama walaupun banyak pihak telah melakukan pelaburan tetapi tidak pernah melayakkan diri ke Piala Dunia.
Laman Facebook ROTP dalam satu hantaran memuji pasukan hoki negara kerana melayakkan diri ke Piala Dunia sambil menyindir suasana dan prestasi bola sepak di Malaysia.
Seorang pengguna Facebook meluahkan rasa kecewa dengan suasana bola sepak negara yang tidak ada sebarang kejayaan. — Facebook
"Hoki diam-diam dah layak ke Piala Dunia, bola sepak penuh dengan drama, gaji berpuluh-puluh ribu tapi sekadar syok sendiri dalam liga sendiri," jelas hantaran itu.
Kenyataan ROTP disokong oleh orang ramai kerana terbukti kualiti permainan bola sepak di dalam Liga Malaysia (Liga M) tidak setanding dengan bayaran mahal yang diterima oleh para pemain.
"Pemain hoki negara majoriti hanya bermain secara 'part-time' sahaja, sebab ada yang bekerja makan gaji, 'respect' betul dekat pemain-pemain hoki Malaysia, baru betul bermain demi lencana di dada," kata Eija Amdan.
"Pemain dan pengurusan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sangat profesional, merendah diri dan meletakkan segala kepentingan negara melebihi segalanya," ujar Sahrom Nasrudin.
"Nak buat macam mana tak habis-habis panggil pemain yang tak sepatutnya bermain untuk negara, 'player' yang kurang minit permainan pun dipanggil juga, itu tak kira naturalisasikan pemain yang dah tua," jelas Mohd Firdaus.
Malaysia pernah menyertai Piala Asia pada tahun 2007 selaku kapasiti penganjur pertandingan. — Facebook
Kali terakhir skuad bola sepak kebangsaan menyertai kejohanan berprestij pada tahun 2007 apabila Malaysia menjadi tuan rumah bagi kumpulan C bagi Piala Asia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram