PENGARUH penyanyi terkenal, Datuk Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin memang tidak dapat disangkal lagi selepas tiket konsertnya di Plenary Hall, Kuala Lumpur selama dua hari mendapat sambutan yang sangat mengejutkan.
Malah, tiket konsert pada hari kedua iaitu pada 5 Jun sudah habis dijual sebaik sahaja hebahan dibuat manakala 4 Jun pula masih berbaki sedikit sahaja lagi.
Itulah penangan penyanyi lagu Biso Bonar yang memilih tema Hattan-35 Years Journey untuk konsert tersebut.
Namun, di sebalik sambutan memberangsangkan itu, Hattan mendedahkan kerisauannya menjelang aksi persembahan yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.
Hattan mengakui perasaannya bercampur baur bila melihat tiket konsertnya mendapat sambutan hangat.
Menurut Hattan, perkara yang paling dirisaukan adalah berkenaan dengan Covid-19 apatah lagi melibatkan industri seni tempatan.
"Bila tiket laku memang kita seronok tetapi kita kena tahu yang Covid-19 masih ada dalam negara dan itu yang merisaukan saya.
"Saya risau jika konsert ini terkait dengan kes Covid-19 dan minta sangat supaya perkara itu tidak terjadi apatah lagi kami semua dalam industri seni baru dapat bernafas semula.
"Lagipun saya kena fikir dengan rakan-rakan artis yang lain juga. Kalau tiba-tiba aktiviti seni dihentikan seperti sebelum ini, memang susahlah semua orang dalam industri.
"Sebab itu saya sangat menjaga isu prosedur operasi standard (SOP) dan berharap semua yang hadir dapat patuh yang SOP yang ditetapkan penganjur," katanya.
Hattan (dua dari kanan) bersama Pengarah Muzik untuk konsertnya, Rozario (kanan).
Mengenang kembali gelombang Covid-19 melanda negara, Hattan mengakui perkara itu ibarat satu 'kiamat kecil' buat mereka.
Malah, segala aktiviti seni dihentikan ketika itu dan mereka sebagai orang dalam industri ada yang menjadi buntu untuk mencari rezeki.
"Masa itu memang kita tidak boleh bekerja. Terpaksa cari cara lain untuk ganti sumber pendapatan sebelum ini. Itu yang bila kerajaan dah longgarkan dan benarkan industri seni kembali beroperasi, saya rasa syukur.
"Tetapi dalam masa sama risau juga sebab apa sahaja boleh berlaku. Kita cuma kena berjaga-jagalah," katanya.
Menerusi konsert yang dianjurkan Mewah Event Management (MEM) tersebut, Hattan akan diiringi barisan pemuzik handalan diketuai pemain keyboard, Rozario yang turut bertindak sebagai Pengarah Muzik, Nan (gitar), Ritz (gitar), Ujang (dram), Fly (bass), Firdaus (keyboard) dan Pa’ang (perkusi).
Tiket pada tanggal 5 Jun telah habis terjual, sementara peminat masih boleh mendapatkan tiket pada 4 Jun 2022 untuk menyaksikan persembahan penghibur legenda ini.
Tiket untuk menyaksikan konsert anjuran MEM yang disokong West Ipoh Span Expressway (WISE) ini boleh dibeli di laman web https://ilassotickets.com/event/hattan-35-years-journey/ dengan harga RM188 (upper tier), RM388 (silver), RM488 (gold), RM788 (diamond) dan RM988 (platinum). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram