PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mohd di Nilai, Negeri Sembilan 'disapa' oleh sepasukan anggota polis di pintu pagar selepas tamat sesi persekolahan pada Jumaat.
Seramai 25 pelajar yang menunggang motosikal dikenakan saman atas pelbagai kesalahan jalan raya, termasuk tidak mempunyai lesen sah, cukai jalan serta tidak memakai topi keledar.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Mohd Fazley Abd Rahman berkata, sebanyak 29 saman telah dikeluarkan secara keseluruhan.
"Operasi yang diberi nama Op Didik itu dijalankan untuk memberi kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan mematuhi semua peraturan lalu lintas.
"Kita harap pelajar mengambil iktibar dan mulai sekarang mereka perlu memastikan bahawa mereka mempunyai lesen yang sah, memakai topi keledar ketika menunggang dan sentiasa mengikut had laju," katanya.
Mohd Fazly berkata, pihak pengurusan sekolah turut menyokong operasi itu kerana ia bertujuan memberi kesedaran tentang keselamatan jalan raya serta pematuhan undang-undang jalan raya.
Beliau berkata, anggota polis juga telah berjumpa pihak sekolah bagi membincangkan masalah berkaitan pelajar yang menaiki kenderaan sendiri ke sekolah.
"Kami akan terus mengadakan operasi begini bagi mendidik orang ramai khususnya mengenai keselamatan jalan raya serta kepentingan mematuhi peraturan jalan raya pada setiap masa," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram