Ozil tunai solat Jumaat di Masjid Istiqlal


  • Podium
  • Jumaat, 27 Mei 2022

Ozil (bersongkok) dikerumuni oleh para peminatnya ketika dalam perjalanan menunaikan solat Jumaat di Masjid Istiqlal. — Agensi

PEMAIN bola sepak terkemuka, Mesut Ozil menunaikan solat Jumaat di Masjid Istiqlal, Jakarta, Indonesia pada Jumaat.

Bekas bintang Real Madrid yang kini beraksi bersama Fenerbahce itu mengakui bersyukur dapat menunaikan solat Jumaat, apatah lagi beliau disambut meriah oleh jemaah masjid tersebut.

Sebelum menunaikan solat Jumaat, Ozil sempat berbual dengan Imam Besar Masjid Istiqlal, Nasaruddin Umar.

Menerusi perbualan yang dirakam di status Instagram Masjid Istiqlal, @masjidistiqlal.official, Ozil dilihat berbual dengan Nasaruddin di dalam sebuah bilik.

Turut kedengaran beliau mengucapkan terima kasih kepada imam itu kerana mengalu-alukan kedatangannya di masjid tersebut.

"Saya boleh beribadat di Indonesia, yang mempunyai masjid terbesar di Asia. Terima kasih kerana menerima saya dan terima kasih atas kebaikan anda," katanya.

008154700_1653630649-Mesut_Ozil_Penuhi_Janjinya_Sholat_Jumat_di_Masjid_Istiqlal-Herman-7

Ozil berada di saf paling hadapan di masjid tersebut. — Agensi

Ketika menunaikan solat Jumaat, Ozil berada di saf paling hadapan di Masjid Istiqlal.

Sementara itu, di luar masjid, ramai peminatnya yang mengambil peluang untuk bergambar bersama bintang tersebut.

Selepas itu, beliau memasuki bangunan masjid itu semula melalui pintu Al Fattah, bertentangan dengan sebuah gereja.

Peminatnya juga dilihat masih mengejar dan memanggil nama Ozil. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram