RAMAI yang sudah sedia maklum bahawa pasukan yang menawarkan jumlah gaji yang tinggi kepada pemain adalah di Johor Darul Takzim (JDT).
Malah, setiap kali ada perpindahan pemain ke skuad Harimau Selatan itu juga pastinya akan dikaitkan dengan habuan yang lumayan.
Disebabkan itu juga ada segelintir pemain yang berhijrah ke JDT dituduh gelap mata dengan tawaran gaji sehingga sanggup meninggalkan pasukan lama.
Bukan itu sahaja, lambakan pemain bintang dalam pasukan JDT juga didakwa telah menipiskan peluang untuk pemain yang mempunyai kualiti beraksi di atas padang.
Akhirnya pemain yang sebelum ini menjadi kunci pasukan sekadar duduk memanaskan kerusi simpanan kerana tidak berpeluang untuk beraksi atau menunggu giliran yang sepatutnya.
PEMAIN Perak FC sebelum ini terpaksa berkongsi makanan selepas sesi latihan gara-gara tidak dibayar gaji.
Perkara itu yang membuatkan ada pemerhati bola tempatan melihat ia sebagai sesuatu yang tidak sihat untuk jangka masa panjang.
Tetapi, dalam kehidupan yang serba mendesak kini, semestinya seseorang itu bekerja untuk wang dan perkara sama dilakukan oleh pemain bola sepak.
Sejauh mana pun kualiti seseorang pemain, sudah pasti yang menjadi keutamaan adalah untuk mendapatkan wang menyara keluarga di rumah.
Perkara sama turut ditegaskan page JOHORean Sport Team, yang menganggap lebih baik duduk dalam cool storage daripada rumah disita, kereta ditarik dan kebajikan serta keperluan anak isteri terganggu.
"Tanyalah sesiapa pun manusia zaman sekarang, pilih gaji besar ke atau setakat gaji sikit lepas itu asyik tertunggak sahaja.
"Sampai bila nak kena bodohkan pengurusan yang pentingkan diri sendiri sahaja tanpa peduli periuk nasi orang?
"Sampai bila pemain profesional Malaysia nak bergaji di takuk lama?" katanya.
Perak FC kini boleh kembali tersenyum selepas pemilik baharu pasukan itu melunaskan semua gaji tertunggak pemain.
Menurutnya lagi, sebelum ini pun sudah wujud kelab yang menjadi huru hara dek kerana hutang berjuta sehingga kesannya membawa kepada gaji pemain tertunggak.
Masalah itu katanya, seakan sengaja tidak dipedulikan dan secara mudah menyalahkan pasukan lain.
"Ada yang seolah-olah sengaja menutup mata (masalah gaji) dengan menyalahkan pula pasukan yang menjaga kebajikan membayar gaji ikut masa serta yang setanding dengan bakat pemain profesional tersebut," katanya.
Pasukan Perak FC sebelum ni bergelut dengan masalah kewangan dan mengakibatkan berlaku tunggakan gaji dalam barisan jurulatih dan pemain.
Masalah itu selesai selepas Perak FC diambil alih oleh sebuah syarikat lain yang kemudian melangsaikan semua gaji tertunggak pemain, jurulatih dan pengurusan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram