Safawi imbau momen 2019, harap dipilih Pan-gon


  • Podium
  • Rabu, 25 Mei 2022

Safawi Rasid yakin dengan kemampuan skuad kebangsaan apatah lagi beraksi di laman sendiri.

PEMAIN sayap skuad kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid tekad membantu Harimau Malaya menjelmakan semula prestasi cemerlang pada 2019 bagi pusingan kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jun.

Sekiranya diberikan kepercayaan untuk diturunkan oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon, Muhammad Safawi yakin boleh berbuat demikian, apatah lagi dengan sokongan pemain ke-12 yang bakal hadir ke ‘kandang keramat’ Harimau Malaya dalam pusingan kelayakan itu kelak.

"Saya rasa kelebihan beraksi di laman sendiri adalah peluang terbaik bagi saya dan pasukan buktikan sesuatu buat Malaysia. Saya akan jelmakan semula prestasi cemerlang 2019 dan mahu buktikan yang saya boleh buat sesuatu bantu pasukan nanti," katanya.

Skuad kebangsaan ketika di bawah kendalian bekas ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, menampilkan prestasi terbaik mereka pada musim 2019 dengan merekodkan sembilan kemenangan daripada keseluruhan 13 perlawanan termasuk aksi persahabatan Tier 1 dengan empat daripadanya menewaskan pasukan dalam ranking lebih tinggi pada waktu itu.

Mengulas mengenai kelebihan beraksi di laman sendiri pada saingan kelayakan itu, pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu berkata, beliau dan rakan sepasukan tidak merasa terbeban dengan situasi tersebut namun akan menyahut cabaran untuk memastikan Malaysia mencatat keputusan positif.

283455022_705698817170024_476920729612983821_n

Sebahagian daripada pemain yang menjalani sesi latihan untuk skuad kebangsaan. — Facebook

Sementara itu, pemain Petaling Jaya City FC, V. Ruventhiran yang bangga dapat menyertai kem latihan skuad kebangsaan buat kali pertama sepanjang kariernya sudah tidak sabar untuk mempelajari taktikal Pan Gon serta barisan kejurulatihan lain.

"Saya percaya satu hari nanti masa saya akan tiba. Sekarang, saya di sini dan saya perlu terus gigih berusaha,” katanya.

Pemain berusia 21 tahun itu percaya, kemenangan pada aksi pemanas badan menentang Brunei, Jumaat ini akan dapat memberi suntikan motivasi kepada pasukan untuk tampil lebih yakin pada pusingan kelayakan Piala Asia 2023.

Ruventhiran dipanggil ke kem latihan bagi menggantikan tempat pemain Negeri Sembilan FC, Khair Jefri Jones, yang terpaksa digugurkan akibat kecederaan buku lali ketika perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC pada 17 Mei lepas.

Selain Brunei, Malaysia dijadual bertemu Hong Kong dalam satu lagi aksi pemanas badan pada 1 Jun.

Harimau Malaya bakal berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) pada aksi Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram