Gemar menonton drama, filem berunsur LGBT, ketahui hukumnya


  • Mukmin
  • Khamis, 26 Mei 2022

Drama 2gether yang ditayangkan di Netflix pada 2020.

SEMAKIN hari semakin banyak filem berunsurkan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) disajikan kepada orang ramai menerusi beberapa platform penstriman di negara ini.

Karya dari negara jiran seperti Thailand serta Barat semakin menjadi tumpuan golongan muda untuk menyaksikan genre LGBT, antaranya drama 2gether yang ditayangkan pada 2020.

Meskipun sudah dua tahun disiarkan, drama berkenaan kekal menjadi kegilaan anak muda termasuk masyarakat Islam dan siri itu sering kali trending di Twitter dengan komen-komen memuji kemesraan kedua pelakon lelaki tersebut sehingga ada juga berharap agar mereka menjalinkan hubungan.

Pengaruh filem seperti itu sebenarnya boleh mempengaruh akhlak dan nilai moral golongan muda dan lebih merisaukan akan melahirkan banyak komuniti LGBT dalam kelompok umat Islam di negara ini.

Pendakwah terkenal, Ustaz Adnin Roslan menegur golongan muda di negara ini yang mana seakan lupa bahawa LGBT adalah perkara yang ALLAH SWT laknat dan jika membaca ataupun menonton filem seperti itu seakan bersetuju dengan hal yang ditentang Islam.

"Adalah berdosa besar jika seseorang itu menyokong filem ataupun buku sebegitu. Benda haram itu adalah haram. Ada yang bila ditegur, ramai pula nak memerli. Perkara sebegitu seolah makan-makan khinzir bila orang tegur cakap 'eh makan sikit saja' tapi dah sah-sah perkara haram.

"Dahlah buat dosa lepas itu pertahankan kesalahan sendiri. Kami tidak suci tapi kami banyak dosa. Kan ALLAH ingatkan ganjaran orang menegur adalah diampunkan dosa," tegur Adnin di video klik Instagramnya kepada kelompok yang tidak serik-serik menonton filem sebegitu walaupun sudah berapa kali dinasihat.

Perbuatan lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya ini adalah tergolong dalam empat jenis manusia yang dilaknat ALLAH SWT.

Daripada Saidina Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Empat jenis manusia dimurkai ALLAH pada waktu pagi dan dikutuk Allah pada waktu petang." Aku bertanya: 'Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?' Baginda menjawab: 'Orang lelaki yang menyerupai perempuan, perempuan yang menyerupai lelaki, orang yang melepaskan nafsu pada binatang dan orang yang datang kepada lelaki (homoseksual)," —Hadis Riwayat al-Baihaqi.

Moga kita mendapat pengajaran daripada ilmu ini dan terhindar daripada laknat ALLAH SWT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram