Star Golden Hearts Award kembali untuk kali ke-8


  • Primer
  • Khamis, 26 Mei 2022

SGHA kembali mengiktiraf dan menghargai hero yang tidak didendang buat kali kelapan.

RAKYAT Malaysia kini boleh memberi penghargaan kepada hero yang tidak didendang menerusi pencalonan Star Golden Hearts Award (SGHA).

Kembali buat kali kelapan, anugerah yang dianjurkan The Star dan Yayasan Gamuda ini bertujuan menghargai wira tidak didendang yang memberi impak positif kepada masyarakat sambil mempromosikan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Ketua Pegawai Kandungan Star Media Group (SMG), Esther Ng berkata, SGHA tahun ini tampil dengan kategori yang dinaik taraf dan ganjaran lebih menarik.

"Ada beberapa perubahan yang kita perkenalkan tahun ini untuk memberi pengiktirafan lebih tinggi serta memberi lebih sokongan kepada pemenang," katanya.

Orang ramai boleh boleh mencalonkan wira mereka sama ada melibatkan kategori individu mahupun organisasi di www.sgha.com.my.

Bagi kategori organisasi, penganugerahan akan dibahagikan kepada lima kategori kerja berdasarkan pemfokusan mereka untuk memberi pengiktirafan yang lebih baik untuk usaha mereka memberi manfaat kepada masyarakat.

Lima kategori kerja itu ialah pemerkasaan komuniti, pendidikan, alam sekitar dan hidupan liar, kebajikan sosial, dan bantuan bencana serta krisis iaitu sebahagian daripada komitmen SGHA terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

SGHA 2022_Infographic BM

Maklumat berkaitan pencalonan dan ganjaran dalam SGHA.

Tahun ini juga menyaksikan anugerah akan diberikan kepada tiga individu dan tujuh organisasi.

Setiap pemenang kategori individu dan organisasi akan menerima wang tunai sebanyak RM8,000 dan RM10,000 masing-masing.

Kesemua 10 pemenang juga akan berpeluang menerima Anugerah Inspirasi Gamuda (GIA) yang menjadi tumpuan bersama geran tambahan berjumlah RM50,000 selain hebahan berkaitan usaha mereka di semua platform di bawah SMG.

"Penganugerahan yang dinaik taraf ini menunjukkan komitmen The Star dan Yayasan Gamuda dalam menyokong pemenang dan bukan sekadar memberi anugerah.

"Sebagai sebuah organisasi media, kami mahu menghebahkan usaha murni serta membantu mereka pergi lebih jauh serta menyebarkan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat.

"Kita akan bersama-sama menjadikan Malaysia negara yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, Ketua Yayasan Gamuda, Ts. Lim Hui Yan berkata, usaha pihaknya disokong oleh satu misi iaitu memberi impak positif ke dalam kehidupan masyarakat.

"Sebagai sebuah syarikat infrastruktur dan kejuruteraan serantau, kami berada atas landasan yang betul dalam mewujudkan perkongsian positif untuk komuniti kita.

"Hubungan jangka panjang bersama SMG menerusi Anugerah Inspirasi Gamuda dalam SGHA juga telah memperkasakan banyak wira komuniti yang luar biasa untuk meneruskan lagi usaha mereka dalam memberi manfaat kepada masyarakat," katanya.

Menurut Lim, kitaran berterusan dalam memberi impak positif kepada masyarakat juga sejajar dengan visi Yayasan Gamuda untuk mempromosikan kehidupan yang mampan.

"Dengan krisis sosio-ekonomi yang semakin meningkat, kami melihat keperluan mendesak untuk mengembangkan rangkaian ejen perubahan sosial.

"Oleh itu, untuk tahun ini, kami meningkatkan jumlah geran kewangan untuk pemenang serta menambah lagi kategori pencalonan.

"Perubahan positif yang inklusif adalah penyelesaian kepada masyarakat yang adil di mana tiada siapa yang ketinggalan.

"Dengan calon-calon tahun ini, kami yakin untuk melihat transformasi yang lebih besar ke arah masyarakat berdaya tahan.

"Kami mengalu-alukan lebih ramai ejen perubahan sosial dan kami bersedia untuk menyokong dalam apa sahaja cara yang boleh," katanya.

Berperanan sebagai Ketua Juri buat kali kelapan, Pengerusi Alliance For Safe Community, Tan Sri Lee Lam Thye berbangga kerana anugerah itu telah berkembang menjadi inisiatif sosial yang memberi impak.

"Walaupun menghadapi cabaran sejak dua tahun lalu, ejen-ejen perubahan sosial telah meningkatkan sokongan dan membantu masyarakat yang memerlukan tanpa mengira latar belakang.

"Dengan anugerah yang telah diperbaharui dan tawaran ganjaran lebih besar, rakan juri dan saya berharap dapat menemui lebih ramai wira yang tidak didendangkan untuk menggalakkan mereka terus berjuang dan memberi inspirasi kepada masyarakat untuk melakukan perubahan dengan cara tersendiri.

"Saya menyeru rakyat Malaysia untuk mengenang mereka yang telah menyentuh hati ramai pihak menerusi usaha murni yang dilakukan dan mencalonkan mereka di SGHA. Menerusi cara ini mereka akan diberi penghargaan yang selayaknya," katanya.

Lam Thye, Esther dan Hui Yan adalah antara lapan juri yang bersama dalam SGHA tahun ini.

Turut menjadi juri ialah Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Gamuda Berhad, Ong Jee Lian; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OrphanCare Foundation dan bekas CEO Yayasan Kebajikan Negara, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim; Professor Perubatan Universiti Malaya dan Presiden Persatuan AIDS Antarabangsa, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dan aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi.

Selain itu, juri lain ialah Penolong Pengurus Impact Innovation Ecosystem Pembangunan Malaysia Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Noor Hanis Harun serta perunding perlindungan kanak-kanak dan bekas penolong pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Vijayakumari Pillai.

Orang ramai boleh mencalonkan individu dan organisasi yang memenuhi kriteria pemilihan di www.sgha.com.my sehingga 31 Julai depan.

SGHA disokong oleh badan amal SMG, Yayasan Star, yang bertujuan untuk menyampaikan inisiatif jangka masa panjang kepada pelbagai kelompok penerima. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram