PIHAK penganjur Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) harus bertindak lebih proaktif dengan memikirkan keadaan cuaca semasa, kesesuaian tempat selain pertimbangan atas peserta yang menyertai acara.
Exco Pekerjaan & Modal Insan Pejuang Muda Malaysia, Mohd Akmal M Yusoff berkata, adalah lebih baik sekiranya acara sambutan 100 tahun persatuan itu diadakan di dalam tempat tertutup seperti stadium.
"Jika tidakpun di tempat yang sama, tetapi ditukar masanya ke waktu petang atau malam bagi mengelakkan daripada insiden veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 'dijemur' ini," katanya dalam kenyataan kepada Majoriti.
Rentetan daripada insiden itu, Mohd Akmal berkata, Pejuang Muda Malaysia berpendapat, pihak yang terlibat dalam penganjuran acara tersebut harus bertanggungjawab dan memohon maaf kepada semua veteran tentera berkenaan dan memastikan agar insiden tersebut tidak berulang.
"Pejuang Muda Malaysia berpendapat, dengan jasa dan bakti yang tidak ternilai kepada negara, veteran ini tidak patut sama sekali diperlakukan sebegitu rupa.
"Malahan sepatutnya mereka diraikan dalam keadaan yang tidak membebankan, apatah lagi ‘dijemur’ di tengah panas seperti itu, sementara peserta acara yang yang berjawatan, termasuk pegawai tinggi dan menteri diberikan kerusi yang empuk di bawah khemah berkipas," katanya.
Pada masa sama, Pejuang Muda Malaysia juga menyeru pihak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kebajikan veteran ATM agar sentiasa memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara, terutama dalam soal kesihatan yang masih lagi boleh diperbaiki.
"Masih ramai veteran yang terpaksa menunggu lama sama ada untuk mendapatkan rawatan kritikal atausepara kritikal mahupun menunggu kelulusan tanggungan kos perubatan yang diperlukan," katanya.
Terdahulu, PVATM menjelaskan video dan gambar yang memaparkan beberapa veteran ATM berdiri di tengah panas adalah situasi biasa dalam perbarisan statik.
Presidennya, Datuk Sharuddin Omar berkata, perbarisan itu dianjurkan PVATM sempena meraikan 100 tahun persatuan dan bukan majlis perjumpaan bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein seperti mana yang didakwa dalam video itu.
Kenyataan itu sebagai respons kepada rakaman tular di media sosial memaparkan beberapa veteran ATM berdiri di tengah panas dalam satu acara di Putrajaya pada Sabtu lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram