TFC II pasukan yang bagus, respons jurulatih JDT II lepas tewas


  • Podium
  • Sabtu, 21 Mei 2022

Antara aksi pertemuan antara JDT II dan TFC II yang menyaksikan skuad Harimau Selatan itu tewas 1-2 dalam aksi Liga Premier malam tadi. — Bernama

JURULATIH Terengganu FC ll (TFC ll), Badrul Afzan Razali memuji aksi mantap yang dipamerkan anak buahnya sehingga berjaya menewaskan pasukan Johor Darul Takzim ll (JDT ll) dalam saingan Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu pada Jumaat.

Badrul Afzan berkata, walaupun di atas kertas skuad kendalian Mariano Echeverria memiliki banyak kelebihan terutama di bahagian serangan, semangat juang tinggi para pemain membolehkan pasukannya mengutip tiga mata penuh.

"Tahniah buat pemain saya yang berjuang bermati-matian untuk memastikan The Turtles kembali ke landasan kemenangan selepas kekalahan kepada Kelantan FC tempoh hari.

"Alhamdulillah segala perancangan taktikal berjalan lancar dan dapat diterjemahkan dengan cemerlang oleh pemain kepada bentuk kemenangan," katanya.

281858649_2294414664055153_7284897574790284623_n

Pemain TFC II cuba mengasak pemain JDT II dalam perlawanan Liga Premier di Terengganu pada Jumaat. — Bernama

Pada perlawanan itu, TFC ll berjaya menewaskan skuad JDT II yang juga pendahulu Liga Premier dengan 2-1 hasil jaringan Zuasyraf Zulkiefli dan Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali masing-masing pada minit ke-62 dan 83.

Gol JDT ll pula diperoleh melalui pemain import kacukan Filipina-Sepanyol, Bienvenido Mariano pada minit ke-43.

Dengan kemenangan itu, TFC ll berjaya mengumpul 13 mata untuk berada di tangga keempat liga di belakang Kelantan United manakala JDT II kekal mendahului dengan 18 mata.

Sementara itu, Echeverria tetap memuji dan berpuas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun gagal membawa pulang sebarang mata dari tempat lawan pada Jumaat.

Katanya, pasukannya perlu segera melupakan kekalahan tersebut dan fokus untuk berdepan pasukan Selangor II minggu depan.

"Pemain kami berjuang habis-habisan untuk perlawanan ini...tetapi Terengganu menang. Terengganu pasukan yang bagus, tahniah kepada mereka," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram