SEORANG wanita ditahan kerana melakukan pembunuhan terancang ke atas teman wanita suaminya di daerah Jatisampurna, dekat Kota Bekasi, Indonesia.
Suspek yang dikenali sebagai NU, 36, mengaku bersalah kepada suaminya bahawa dia telah membunuh mangsa.
Ketua Perhubungan Awam Polda Metro Jaya, Endra Zulpan berkata, NU melakukan pembunuhan itu secara sedar ke atas mangsa yang hanya dikenali sebagai DN, yang berusia 27 tahun.
"Suspek berasa serba salah sebelum memberitahu suaminya bahawa dia yang melakukan pembunuhan itu.
"Dia yang berasa menyesal lalu menyerah diri kepada pihak polis," katanya dalam sidang media pada Khamis.
Jelasnya, sebelum melakukan pembunuhan itu, NU ada menyediakan pakaian ganti bagi menghilangkan kesan darah mangsa.
"Jadi, mayat dibuang begitu sahaja manakala pakaian ganti sudah disediakan supaya darah tidak memercik," katanya.
DN yang berasal dari Cengkareng, Jakarta Barat dilaporkan hilang sejak 26 April lalu manakala mayatnya ditemui penduduk pada 29 April lalu di Jalan Cibubur CBD, Desa Jatirangga.
Mayat mangsa ditemui dengan beberapa luka akibat objek tumpul.
Sementara itu, Ketua Polis Sektor Cengkerang, Kompol Ardhie Demastyo berkata, suspek melakukan pembunuhan itu akibat cemburu kerana suaminya mengadakan hubungan sulit dengan mangsa.
Sebelum dibunuh, suspek telah memberi amaran kepada mangsa supaya memutuskan hubungan dengan suami suspek, namun hubungan itu masih diteruskan.
Suspek mengetahui perkara itu selepas membaca mesej pesanan ringkas di telefon bimbit suami.
"Suami suspek kemudian menceraikannya dan menjadikan suspek berang sebelum merancang pembunuhan itu," katanya.
Suspek didakwa dibawah Perkara 338 Kanun Jenayah (KUHP) kerana melakukan pembunuhan terancang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram