Dennis Buschening jangka digugurkan, ini 5 calon terbaik lonjak semula prestasi Kedah


  • Podium
  • Sabtu, 21 Mei 2022

Dennis Buschening terpaksa berehat panjang selepas disahkan mengalami kecederaan Achilles. — Facebook/KDA FC

TONGGAK import Kedah FC (KDA FC), Dennis Buschening yang pemain kelahiran Jerman kacukan Thailand sebelum ini mula bertapak dalam saingan Liga Malaysia sejak dua musim lalu dengan menyertai Sabah FC serta UiTM FC.

Bukan hanya ketika bersama KDA FC, pemain berusia 31 tahun itu juga dilaporkan gagal memberikan sebarang impak positif sepanjang beraksi bersama dua kelab tersebut sebelum ini.

Meskipun Dennis sudah pun membuka akaun jaringan bersama Sang Kenari, beliau bernasib malang apabila mengalami kecederaan achilles dan bakal berehat panjang sehingga menyebabkan pasukan itu kehilangannya khidmatnya.

Tidak hairanlah, terdapat khabar angin mengenai beberapa nama pemain import pengganti untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Dennis Buschening jika dia digugurkan pihak pengurusan ketika jendela perpindahan pemain dibuka semula tidak lama lagi.

Berikut adalah 5 senarai pemain yang wajar disasarkan Kedah untuk memantapkan persediaan skuad gergasi utara tanah air itu bagi mencabar semula kejuaraan Liga Super serta mengharungi kempen Piala AFC 2022 pada Jun nanti:

KUALA LUMPUR, 10 Sept -- Pemain Sarawak United FC Sandro Da Silva Mendonca diasak pemain Negeri Sembilan FC Beomgeun Bae pada saingan Liga Premier Malaysia 2021 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur hari ini. 
Sarawak United FC dan Negeri Sembilan FC seri 0-0 pada separuh masa pertama.
--fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sandro merupakan salah seorang pemain import yang paling berjaya pernah dimiliki oleh Kedah — Agensi

1. Sandro da Silva Mendonça (Ejen Bebas)

Arkitek tengah kelahiran Brazil ini sangat diminati oleh penyokong-penyokong Hijau Kuning kerana dia merupakan salah seorang pemain yang berjaya membawa Kedah memenangi Liga Perdana 2015, Piala Malaysia 2016, Piala FA Malaysia 2017 dan Piala Sumbangsih 2017.

Sandro telah menjadi salah seorang pemain import terbaik yang pernah dimilik oleh pasukan Kedah semasa di bawah bimbingan bekas jurulatih kebangsaan iaitu Tan Cheng Hoe.

Pemain tengah berusia 38 tahun itu pernah beraksi bersama beberapa pasukan di dalam saingan Liga Malaysia seperti Selangor FC dan Sarawak United selepas meninggalkan skuad Hijau Kuning.

Dengan reputasi sebagai pemain import terbaik di Malaysia, Sandro mampu menjadi pengganti yang sesuai untuk kembalikan prestasi pasukan Kedah dalam saingan Liga Super Malaysia dan Piala AFC 2022.

FB_IMG_1603304586906

Rodriguez merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana Malaysia 2021 dengan 16 jaringan gol — Facebook

2. Fernando Rodriguez (Johor Darul Takzim II)

Pemain penyerang kelahiran Sepanyol berusia 35 tahun iaitu Fernando Rodriguez pernah menyarung jersi pasukan Hijau Kuning pada musim 2019 dan mempamerkan aksi yang memberangsangkan buat pasukan itu.

Rodriguez merupakan pemain penyerang yang mempunyai fizikal dan kepantasan yang baik untuk diletakkan sebagai penyerang pasukan Kedah kerana dia mempunyai kemahiran dalam menjaringkan gol.

Rodriguez berpindah ke Johor Darul Takzim II pada musim 2020 selepas beraksi cemerlang bersama pasukan Kedah dan kini beliau telah membuat 23 penampilan bersama 21 jaringan gol.

Pemain berusia 35 tahun itu mempunyai pengalaman luas dalam saingan AFC bersama pasukan terdahulunya, Ceres-Negros FC di Filipina dan mungkin dapat membantu pasukan Kedah untuk mengharungi cabaran AFC 2022 Jun nanti.

B15AC27B-CDA0-445C-A48F-BC0C891BD590

Mintah merupakan pemain import terbaik Terengganu yang tidak diberi peluang untuk beraksi bersama pasukan utama pada musim ini. — Facebook

3. Jordan Mintah (Terengganu II)

Penjaring terbanyak Liga Premier 2021 iaitu Jordan Mintah merupakan calon yang terbaik buat Aidil Shahrin dalam mengetuai barisan serangan pasukan Kedah Darul Aman.

Mintah pada musim ini sedang bergelut dalam saingan Liga Premier, mungkin disebabkan faktor tidak dapat bermain bersama pasukan utama Terengganu FC seperti yang dijanjikan oleh pihak pengurusan.

Pemain kelahiran Ghana ini pada musim lalu telah bermain sebanyak 21 perlawanan dan berkongsi kasut emas bersama Fernando Rodriguez selepas meledak 16 gol pada musim lalu.

Dengan prestasi yang cemerlang dibawa oleh Mintah, ini merupakan peluang Kedah untuk merekrut pemain tersebut kerana tidak dapat dinafikan lagi hasratnya untuk bermain di peringkat tertinggi aksi domestik iaitu Liga Super.

ikkk

Ikhsan Fandi baru berusia 23 tahun tetapi cara permainannya sudah semakin matang selepas menerima ilmu bola sepak dari negara eropah. — Facebook

4. Ikhsan Fandi (BG Pathum United)

Penyerang bertubuh tegap kelahiran Singapura ini mungkin sukar untuk dilepaskan oleh pasukan BG Pathum United selepas beliau tampil cemerlang di dalam saingan Liga Perdana Thailand musim ini.

Anak penyerang legenda kelahiran Singapura iaitu Fandi Ahmad ini baru sahaja menyertai naib juara pasukan Liga Perdana Thailand itu, namun dia telah mempamerkan aksi yang baik apabila berhasil menjaringkan lapan gol dari 14 penampilannya bersama pasukan tersebut.

Ikhsan Fandi sebelum ini pernah bermain di Liga Norway bersama pasukan FK Jerv, sebelum disunting oleh kelab Thailand itu selepas menampilkan aksi cemerlang di dalam Piala AFF Suzuki 2020.

Semasa perlawanan persahabatan Singapura bertemu Malaysia yang berkesudahan 2-1 di Stadium Nasional, Singapura baru-baru ini, beliau juga telah menjaringkan satu gol bagi memenangi perlawanan tersebut.

Jorge-Pereyra-Diaz-3-scaled

Diaz pernah meninggalkan pasukan JDT selepas perletakan jawatan salah seorang staf kejurulatihan pasukan Harimau Selatan. — Facebook

5. Jorge Pereyra Díaz (Kerala Blasters FC)

Pemain kontorversi yang pernah meninggalkan pasukan Johor Darul Takzim pada tengah malam sebelum skuad itu berlepas ke Vietnam untuk perlawanan menentang Song Lam Nghe An FC dalam Piala AFC 2018 kini disebut-sebut berada dalam radar pengurusan Kedah.

Penyerang kelahiran Argentina ini pernah dikaitkan dengan pasukan Hijau Kuning beberapa musim lalu dan kini sedang hangat dikaitkan kembali kerana prestasi dan pengalaman yang dimiliki oleh beliau.

Diaz kini sedang bermain di Liga Super India bersama Kerala Blasters FC dengan menjaringkan lapan gol dalam 21 penampilan serta membantu pasukannya menduduki tempat ke-4.

Jika Kedah ingin mencari pengganti Dennis, Diaz merupakan salah satu calon terbaik kerana beliau memahami cara permainan pemain Malaysia dan dia juga mungkin dapat membantu menyelesaikan ketumpulan barisan serangan pasukan Hijau Kuning. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram