Buat 5 langkah ini jika anak terkena air panas


  • Sihat
  • Sabtu, 21 Mei 2022

Kecederaan akibat air panas sering berlaku kepada kanak-kanak. — Gambar hiasan/Agensi

KECEDERAAN akibat terkena air panas adalah kecederaan yang sering berlaku pada kanak-kanak.

Perkara itu bukan sahaja akan menyebabkan trauma kepada golongan dewasa, apatah lagi kanak-kanak.

Kecederaan itu adakalanya menyebabkan kerosakan pada kulit bergantung kepada tahap melecur yang dialami seseorang.

Malah, ada ibu bapa atau golongan dewasa akan berasa panik sekiranya kanak-kanak terkena air panas.

Pakar kesihatan, Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan menerusi laman Facebook berkata, ibu bapa dan pengasuh harus mengambil tindakan yang betul sekiranya perkara tersebut berlaku.

"Kawasan lecuran perlu dirawat dengan baik, untuk mengelakkan risiko jangkitan kuman, parut, dan kecacatan pada kawasan terlibat," katanya.

Berikut adalah tindakan yang perlu diambil jika anak terkena air panas:

1. Jauhkan diri dan anak daripada sumber bahaya (pemanas/air panas/dapur gas/soket elektrik). Tenangkan diri, kemudian tenangkan anak.

2. Tanggalkan semua barang kemas(gelang/cincin/rantai), jam tangan, pakaian yang berada pada kawasan yang terkena air panas.

3. Alirkan air bersih bersuhu bilik di kawasan terlibat selama 15 hingga 20 minit untuk hentikan lecuran daripada terus berlaku. Elak gunakan air sejuk atau ais.

4. Jika terdapat gelembung pada kulit yang melecur, tak usah pecahkan gelembung berkenaan. Hanya tutup dengan kain bersih.

5. Jumpa doktor dengan segera sekiranya kawasan lecuran lebih besar daripada tapak tangan anak(tanpa jari), atau melibatkan muka serta kemaluan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

melecur, kanak-kanak, air panas