BINTANG tengah Liverpool, Thiago Alcantara mendedahkan dua sebab dia mahu kekal bersama The Reds walaupun bekas kelabnya, Barcelona sedang berusaha keras untuk membawanya kembali ke Nou Camp.
Pengendali Barcelona, Xavi dilaporkan berminat untuk menandatangani pemain berusia 31 tahun itu bagi memperkuatkan bahagian tengah gergasi Sepanyol itu.
Namun, Alcantara berkata, dia enggan melayan khabar angin mengenai masa depannya dan mahu fokus membantu Liverpool memburu empat kejuaraan musim ini.
"Saya bermain bola sepak. Saya tidak ambil berat tentang khabar angin.
“Saya fokus pada tugas saya terhadap saya, kontrak yang saya ada dan pengembaraan baharu dalam Liga Perdana Inggeris untuk cuba memenangi semua trofi yang saya mampu,” katanya yang mempunyai kontrak sehingga 2024.
Tambahnya, hubungan baiknya dengan pengurus, Jurgen Klopp dan projek jangka panjang kelab itu meyakinkannya untuk terus menabur bakti di Anfield.
Lembaga pengarah Liverpool juga dilaporkan tidak mempunyai perancangan untuk melepaskan pemain yang menyertai mereka dengan nilai £20 juta (RM109 juta) pada 2020 itu.
Selepas bergelut dengan kecederaan ketika awal kariernya di Liverpool, Alcantara kini dilihat telah bangkit dan sering menampilkan persembahan mantap ketika diturunkan.
Pemain antarabangsa Sepanyol itu turut menerima tepukan gemuruh daripada penonton Anfield atas persembahan luar biasa ketika menentang Manchester United bulan lalu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram