'Kenapa TFC bakar suar cepat kena tindakan tapi JDT belum dihukum?'


  • Podium
  • Rabu, 27 Apr 2022

Tindakan penyokong TFC yang menyalakan suar ketika perlawanan menentang Selangor FC Jumaat lalu.

TERENGGANU FC (TFC) dilaporkan bakal didenda oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gara-gara tindakan penyokongnya yang menyalakan suar dalam stadium selepas perlawanan Liga Super menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Jumaat lalu.

Kelab itu didakwa melanggar Artikel 70 Perenggan 1 Kod Tatatertib FAM berkenaan tanggungjawab bagi kelakuan penonton.

Menurut artikel itu, "Pasukan tuan rumah atau kelab tuan rumah adalah bertanggungjawab bagi tindakan tidak wajar di kalangan penonton, tanpa mengira persoalan perilaku bersalah atau pengawasan bersalah, dan, bergantung kepada keadaan, boleh didenda. Hukuman yang selanjutnya boleh dikenakan di dalam kes gangguan yang serius."

Perkara itu bagaimanapun menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang berpendapat bahawa Johor Darul Takzim (JDT) juga sepatutnya dikenakan tindakan sama berikutan tindakan penyokongnya yang menyalakan suar selepas perlawanan menentang TFC pada 10 April.

"Rasa isu JDT ni dah beberapa minggu masih tiada tindakan. Kenapa masa Terengganu cepat sangat buat tindakan?" soal Ridzwan Akim.

"Nak tanya stadium milik sendiri memang boleh bakar suar ke? Kalau stadium milik orang lain tak boleh? Memang peraturan FAM ada sebut macam tu ke? Kiranya kalau stadium milik kelab sendiri, FAM cakap boleh bakar suar, tak termaktub dalam peraturan liga? Macam tu pulak arrangement peraturan bola sepak negara," kata Irfan Dannieal.

"Malaysia duduk takat tu sajalah... macam mana nak pergi World Cup... Masalah ni pun double standard... lepas tu meeting," ujar Muhammad Nizam Azril.

278136365_2117171678462147_620821699203602009_n

Insiden nyalaan suar oleh penyokong JDT pada 10 April lalu.

Sehingga kini, pihak FAM masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung insiden tersebut yang berlaku di Stadium Sultan Ibrahim itu.

Untuk rekod, beberapa kelab pernah didenda akibat tindakan penyokong yang tidak bertanggungjawab membakar suar ketika dan selepas perlawanan.

Pada 2015, Jawatankuasa Tatatertib FAM pernah mendenda Pahang FA sebanyak RM10,000 disebabkan kesalahan penyokong membakar suar selepas perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur.

Tindakan yang sama turut pernah diambil ke atas Kedah FA selepas penyokongnya bertindak membakar dan membaling suar ke dalam padang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada tahun yang sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram