JUARA edisi Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC (KL City) mahu meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Liga Super selepas menang dua perlawanan berturut-turut sebelum ini.
Bermula kurang baik musim ini, KL City mula mencari rentak apabila berjaya memperoleh kemenangan pertama dalam Liga Super menentang Melaka United pada 9 April.
Pada 16 April, KL City meneruskan momentum apabila membenam Sabah FC dengan 2-0 di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur.
Justeru itu, pasukan City Boys menanam tekad untuk mencari tiga mata berharga yang pertama di tempat lawan musim ini apabila bakal bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk bertemu Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Ahad.
Menurut kapten KL City, Paulo Josue, pasukan tersebut menjalani latihan secara kerap pada minggu ini dalam persiapan bertemu NSFC.
"Jurulatih (Bojan Hodak) sudah menunjukkan kepada kami apa pelannya dan kami bersetuju dengan beliau.
"Kami harap segala perancangan akan berjalan lancar dan dapat memperoleh tiga mata di tempat lawan buat kali pertama musim ini.
"Kami juga tahu NSFC memiliki skuad yang baik serta tidak pernah kalah lagi dalam saingan Liga Super.
"Namun kami perlu bersiap sedia untuk segalanya dan sekali lagi bekerja keras untuk memperoleh mata," katanya kepada Majoriti.
KL City berada di tangga kelima liga dengan tujuh mata, dibezakan satu mata dengan NSFC yang berada di tempat keempat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram