Selangor tak boleh sentiasa menang — Michael Feichtenbeiner


  • Podium
  • Sabtu, 23 Apr 2022

Penyerang Selangor FC, Herlison Caion (kanan) melakukan percubaan ke arah pintu gol sambil diasak oleh pemain TFC. — Facebook Selangor FC

KETUA jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner mengakui agak terkilan kerana terpaksa pulang dengan tangan kosong selepas melalui perlawanan penuh dramatik menentang Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super pada Jumaat.

Bagaimanapun, beliau tetap berpuas hati dengan semangat serta kesungguhan anak buahnya yang berjuang sehingga minit akhir perlawanan.

"Bagi saya gol kedua ternyata memusnahkan kami. Ya, kami lakukan beberapa peluang baik pada awal permainan babak pertama tetapi gagal untuk menjaringkan gol.

"Tetapi, keseluruhannya saya fikir prestasi pemain bukanlah tidak bagus, adakalanya kita perlu terima hakikat bahawa kita tidak boleh sentiasa menang dan sekurang-kurangnya apa yang kita boleh buat ialah berusaha keras dan cuba untuk menang pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Terengganu itu menyaksikan Selangor FC tewas kepada TFC 2-0 hasil jaringan Faisal Abdul Halim dan Tchetche Kipre.

Kemenangan itu menyaksikan TFC berjaya naik ke tangga ketujuh Liga Super selepas mengumpul enam mata manakala Selangor FC turun ke tangga kelapan dengan lima mata. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram