TFC II terpaksa lupakan Redzovic dan Shitembi, harap Mintah ledak gol awal


  • Podium
  • Sabtu, 09 Apr 2022

TFC II bakal bertemu PDRM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad. — Facebook/TFC II

JURULATIH Terengganu FC ll (TFC ll), Badrul Afzan Razali berazam meneruskan momentum kemenangan dengan menewaskan PDRM FC pada saingan Liga Premier pada Ahad.

Badrul Afzan berkata, justeru beliau mahu anak buahnya tampil dengan corak permainan lebih bertenaga apabila berdepan skuad The Cops di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras nanti.

"Walaupun berjaya meraih kemenangan ke atas Perak FC pada perlawanan pertama akhir bulan lepas, mutu permainan pemain tidak mencapai tahap yang ditetapkan.

"Jadi untuk perlawanan malam esok (Ahad), saya mahu pemain lebih fokus dan mengikut perancangan taktikal yang telah disediakan kerana PDRM FC juga bukan calang-calang pasukan," katanya.

Screenshot 2022-04-09 212200

Mintah (kanan) jadi sandaran TFC II pada Ahad. — Facebook TFC II

Beliau berkata, pemain juga diingatkan supaya mengerah lebih tenaga memandangkan misi memburu kemenangan di laman lawan kali ini dilihat lebih sukar dengan ketiadaan dua tonggak import, Argzim Redzovic dan Petrus Shitembi yang membantu pasukan mencipta kemenangan ke atas Perak FC tempoh hari.

Menurut Badrul Afzan, seorang lagi penyerang import, Jordan Mintah menjadi sandaran utama yang diharap mampu meledak gol seawal minit perlawanan.

"Khidmat Redzovic dan Shitembi lebih diperlukan oleh pasukan Terengganu FC (TFC) yang akan bertemu Johor Darul Takzim (JDT) juga pada malam esok (Ahad).

"Jadi kita akan guna khidmat Pape Diakite untuk mengetuai jentera pertahanan dan Luke Woodland yang baru sahaja sembuh daripada kecederaan. Harapan saya supaya mereka mampu memberi impak seperti mana Redzovic dan Shitembi," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram