TFC calar rekod JDT, Mora tabik Sang Penyu


  • Podium
  • Isnin, 11 Apr 2022

Mora kagum dengan persembahan cemerlang yang ditunjukkan TFC ketika perlawanan Liga Super pada Ahad. — Johor Southern Tigers

KETUA jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora melemparkan pujian kepada Terengganu FC (TFC) atas persembahan cemerlang yang ditunjukkan ketika perlawanan Liga Super pada Ahad.

Walaupun gembira kerana berjaya mengutip tiga mata penuh untuk melebarkan cengkaman di tangga teratas liga, Mora tidak mahu mendabik dada.

“Saya tidak boleh berbohong yang TFC merupakan sebuah pasukan yang mantap dan punyai ramai pemain baik selain kekuatan di bahagian tengah.

“Mereka juga begitu baik semasa situasi memegang bola malah sering kali dapat mencari kombinasi yang dimahukan selain penyerang, Kpah Sherman cukup kuat serta berbahaya.

“Pujian kepada jurulatih, Nafuzi Zain dan saya hormat kepada pasukan yang mahu bermain bola sepak dan tidak membuang masa dalam permainan.

“Mereka melawan dengan penuh bermaruah dan kalah 1-2, mereka sangat hampir untuk mendapatkan sesuatu dalam perlawanan ini dan tuah menjadi milik kami.

“Sherman tidak bernasib baik kerana terdapat dua situasi untuk menjaringkan gol selain kami berjaya berada di situ untuk berikan tekanan, di akhirnya kami tahu bagaimana mahu dapatkan tiga mata,” katanya.

Dalam perlawanan itu, JDT yang mendahului dengan jaringan Bergson da Silva pada minit ke-7 dikejutkan dengan gol penyamaan Kpah Sherman pada minit ke-31.

Namun, JDT kembali di depan selepas dua minit, sekali lagi menerusi Bergson yang menanduk bola hantaran lintang dari Arif Aiman.

Bergson da Silva JDT - BERNAMA

Bergson meraikan gol kedua ketika menentang TFC dalam aksi Liga Super pada Ahad. — Bernama

Sementara itu, ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain gembira dengan semangat juang pemain-pemainnya yang telah mempamerkan banyak peningkatan.

“Dari segi persembahan, saya berpuas hati dan berbangga dengan semua pemain kerana tidak membiarkan JDT menang mudah.

“Kedua-dua pasukan telah bermain bola sepak dengan baik dan kami berjaya berikan saingan,semua orang tahu kualiti yang ada pada JDT.

“Di awal perlawanan, pemain tertekan dengan dua gol berpunca kesilapan dari bola hantaran lintang dan pemain cuba untuk bangkit di separuh masa kedua.

“Bukan mudah untuk mencipta peluang apabila berdepan pasukan seperti JDT tetapi kami berjaya mendapatkan beberapa kesempatan cuma kalau dapat peluang, kami kena manfaatkannya,” katanya.

Terengganu setakat ini menjadi satu-satunya pasukan belum meraih mata di Liga Super selepas tewas kepada PJ City FC 0-3 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Rabu lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram