Nafuzi Zain anggap tewaskan JDT cukup penting buat TFC


  • Podium
  • Sabtu, 09 Apr 2022

Menurut Nafuzi, skuad Penyu amat memerlukan kemenangan untuk menaikkan moral pemain selepas kekalahan perit 0-3 kepada PJ City FC. — TFC

KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mahu anak buahnya melupakan episod malang ketika tewas kepada pasukan Petaling Jaya City (PJ City) pada aksi pertama mereka dalam saingan Liga Super Khamis lepas.

Sebaliknya jurulatih berusia 44 tahun yang sedang meningkat naik itu menggesa pemain supaya bangkit memburu tiga mata ketika menentang pasukan gergasi bola sepak negara, Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad.

Menurut Nafuzi, skuad Penyu amat memerlukan kemenangan untuk menaikkan moral pemain selepas kekalahan perit 0-3 kepada skuad The City Boys yang beraksi tanpa pemain import.

"Kita tidak nafikan bahawa perlawanan kedua dengan JDT ini bakal memberi cabaran getir tetapi dengan fokus dan taktikal yang betul insya-Allah peluang untuk meraih kemenangan tetap ada.

"Oleh itu, saya harapkan pemain memberi persembahan terbaik untuk kita bawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari tempat lawan malam esok," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Nafuzi berkata, walaupun beraksi dengan jadual yang padat pada Ramadan, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk pemain beraksi sambil lewa dan tidak mengikut perancangan ketika di atas padang.

Sementara itu, kapten skuad Penyu, Kipre Tchetche menyeru rakan sepasukannya supaya bangkit memberikan cabaran sebenar kepada skuad Harimau Selatan.

Menurut Tchetche, perlawanan pada Ahad semestinya amat dinanti-nantikan penyokong TFC yang sentiasa setia serta menjadi tulang belakang pasukan berkenaan.

"Kami turun ke Johor dengan misi tiga mata bukan sahaja untuk pasukan tetapi peminat setia skuad hitam putih yang amat dahagakan kemenangan.

"Kepada rakan sepasukan, saya harap mereka dapat beraksi sepenuh tenaga dan kekal fokus sepanjang 90 minit permainan," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram