TFC masih rindukan sentuhan Dechi Marcel


  • Podium
  • Sabtu, 09 Apr 2022

Marcel (kiri) ketika beraksi bersama TFC musim lepas. — TFC

ANTARA perlawanan yang menjadi tumpuan dalam Liga Super sepanjang minggu ini adalah membabitkan pertemuan antara PJ City FC dan juga Terengganu FC (TFC) yang berlangsung di Stadium MBPJ, Selangor pada Rabu lepas.

Ramai yang tidak menyangka anak buah P Maniam yang beraksi menggunakan 100 peratus tenaga tempatan berjaya membenam Terengganu FC yang dibarisi pemain Import dengan kemenangan bergaya 3-0.

Empat pemain import membarisi kesebelasan utama TFC pada Rabu iaitu Habib Haroon, Petrus Shitembi, Kpah Sherman dan juga Tchetche Kipre.

Seorang lagi pemain import, Manuel Ott masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua, menjadikan keseluruhan lima import beraksi untuk TFC pada perlawanan itu.

Walaupun tampil dengan reputasi yang lebih tinggi berbanding PJ City FC, anak buah Nafuzi Zain yang bermain dengan intensiti tinggi gagal mencari rentak untuk memecah kubu lawan.

Dapat dilihat, barisan tengah TFC yang dibarisi Haroon, Shitembi dan juga Zuasyraf Zulkiefle seperti kering idea dan buntu untuk menggerakkan perlawanan dan tertewas dengan gerakan-gerakan yang disusun oleh barisan pemain PJ City FC. Ibarat tiada jeneral di bahagian tengah.

Situasi ini amat berbeza berbanding musim lalu di mana corak permainan Nafuziball yang mementingkan penguasaan bola serta merancang serangan dari bahagian bawah sering mendapat pujian peminat-peminat bola sepak tempatan.

Ketika itu, bahagian tengah TFC dikawal dan dijaga rapi oleh pemain Ivory Coast, Dechi Marcel yang kini sudah berhijrah ke Kedah Darul Aman (KDA) FC musim ini.

Jika diadili daripada perlawanan menentang PJ City FC itu, tiada seorangpun pemain tengah TFC yang dilihat boleh mengawal tempo permainan dan menggerakkan permainan seperti Marcel, yang merupakan salah satu kunci kepada kejayaan Nafuziball musim lalu.

Cuma selepas kemasukan Manuel Ott pada separuh masa kedua menggantikan Zuasyraf, barulah bahagian tengah TFC dilihat sedikit 'hidup'.

Sementara itu, di utara tanah air pula, peminat KDA FC sedang 'dilamun cinta' dengan persembahan mantap Marcel dalam tiga perlawanan pertama Liga Super dan pemain itu boleh dikatakan sudah menjadi pemain kesayangan baharu buat penyokong Sang Kenari.

Tidak keterlaluan rasanya menyifatkan apa yang dinikmati Nafuzi musim lalu, kini sedang dirasai oleh ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak.

Pada aksi seterusnya malam Ahad, TFC berdepan misi sukar bertemu penyandang juara liga, Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Ibrahim.

Jika aksi sama terus dipamerkan oleh Sang Penyu dalam pertemuan itu nanti, tidak mustahil JDT mampu 'meratah' anak buah Nafuzi dengan mudah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram