Perak FC diperdaya 'scammer'?


  • Podium
  • Khamis, 14 Apr 2022

Perak FC bakal dikenakan pemotongan enam mata pada Khamis sekiranya masih gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji. — Perak FC

SINAR baharu yang diharapkan buat Perak FC nampaknya tidak kunjung tiba apabila pengambilalihan kelab itu yang dilaporkan sepatutnya berlaku pada Isnin lalu difahamkan tidak menjadi.

Sebelum ini, laporan mengatakan bahawa pemilik Perak FC, Impact Media & Communications Sdn Bhd (IMC) bakal menyerahkan kelab itu kepada JR Resources.

Para peminat yang teruja tertanya-tanya apa yang berlaku dengan proses pengambilalihan tersebut, kerana sehingga kini masih tiada pengumuman rasmi oleh kelab itu.

Bercakap kepada Majoriti, sumber dalaman yang enggan dikenali berkata, kegagalan rundingan pengambilalihan Perak FC adalah disebabkan seorang scammer yang bernama Khai (bukan nama sebenar).

Dia turut mendakwa bahawa Khai merupakan individu yang menipu pihak IMC dengan menawarkan diri untuk menjadi pelabur, tetapi merupakan seorang muflis.

"Pihak yang berminat untuk membeli Perak FC ni ada tiga orang funder (pelabur) iaitu seorang individu yang bergelar Datuk, seorang usahawan dan juga Khai. Sebelum ini, Khai telah menipu pihak IMC dengan menawarkan dirinya untuk menjadi funder tetapi dia sebenarnya seorang muflis dan tiada wang.

"Ketika Perak FC masih berada di bawah jagaan Azman Noh (pengurus besar), Khai pernah cuba untuk masuk ke dalam Perak FC namun gagal selepas latar belakangnya sebagai seorang scammer diketahui.

"Pada 24 Disember lalu, IMC mengambil alih keseluruhan pegangan saham Perak FC, dan Khai diketahui merupakan funder mereka, tetapi dia telah menipu mereka kerana dia sebenarnya tidak ada duit.

"Yang peliknya, apabila bakal pembeli baharu ini berminat nak ambil alih Perak FC, tiba-tiba dia tunjukkan minat semula. Tapi dia tak hadir ketika acara menandatangani dokumen yang sepatutnya berlaku pukul 10 pagi tadi (Rabu), yang datang hanya usahawan itu sahaja," katanya.

Tambahnya, IMC masih lagi merupakan pemilik sah Perak FC buat masa ini disebabkan kegagalan pengambilalihan tersebut.

Sumber itu turut berkata, terdapat seorang lagi individu yang berminat untuk mengambil alih Perak FC, iaitu seorang usahawan bergelar Datuk yang memiliki perniagaan bas persiaran.

"Tapi Datuk tu tengah tunggu rakan kongsi dia, setakat ini boleh dikatakan JR Resources sudah out.

"Apa yang kami syak adalah, Khai cuba melakukan perkara sama yang dia lakukan kepada IMC, cuma yang tu kita tak dapat pastikan niat sebenar dia.

"Para pemain sendiri beritahu bahawa mereka melihat Khai hadir ke pusat latihan Perak FC di Chepor minggu lalu... tak tahu apa tujuan dia datang tunjuk muka," dakwanya.

Pada 1 April lalu, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan bahawa badan bebas, First Instance Body (FIB) mengenakan tindakan pemotongan tiga mata selepas gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama dan reserve team sehingga November 2021 berdasarkan Akuan Berkanun (SD)

Mengikut tempoh masa yang diberikan badan itu, hukuman kedua iaitu pemotongan sebanyak enam mata akan berkuatkuasa pada Khamis sekiranya kelab masih gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram