BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir sedih dengan nasib jurulatih-jurulatih bola sepak tempatan yang sering dipinggirkan dan dipandang rendah berbanding jurulatih luar negara.
Menurutnya, pengurusan kelab bola sepak di negara ini yang terlalu memandang tinggi kebolehan jurulatih luar negara, menyebabkan banyak bakat jurulatih tempatan disia-siakan.
"Jurulatih tempatan ni bukannya tak ada lesen profesional, ramai saja yang ada. Saya kesian kepada jurulatih tempatan kita, bayar untuk ambil lesen profesional sampai berpuluh-puluh ribu... bila dah dapat lesen, kerja tak ada.
"Ini semua disebabkan mentaliti pengurusan kelab tempatan yang lebih memandang tinggi jurulatih luar. Nanti lama-lama rakyat kita dah tak minat nak ambil lesen," katanya kepada Majoriti.
Beliau mengakui kagum dengan PJ City FC yang berjaya membuktikan anak tempatan mampu bersaing dengan kepakaran luar negara.
Tambahnya, gaji jurulatih tempatan yang lebih murah juga sepatutnya dimanfaatkan oleh pengurusan di negara ini berbanding kos untuk membayar jurulatih import.
"Dahlah gaji mereka lebih mahal, lepas tu ada pula kelab yang ambil jurulatih luar negara ni berdepan masalah gaji. Kalau kita tengok dalam liga pun, ramai juga jurulatih luar negara ni yang lebih teruk prestasi mereka berbanding jurulatih tempatan.
"Bukannya jurulatih tempatan ni tak berbakat, cuba tengok apa yang PJ City FC berjaya lakukan beberapa musim ini, mereka tetap boleh bersaing menggunakan 100 peratus tenaga tempatan, siap boleh bantai jurulatih luar negara lagi.
"Kalau JDT (Johor Darul Takzim) tu tak payah cakaplah, letak songkok pun boleh menang, sebab pemain-pemain mereka memang padu," katanya.
Beliau berharap pengurusan di negara ini dapat membuka mata terhadap kebolehan jurulatih tempatan dan memberi ruang serta peluang untuk berbakti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram