MFL mahu bukti pemilik baharu Perak FC ada bajet kukuh


  • Podium
  • Rabu, 13 Apr 2022

Perak FC bakal dijual kepada syarikat JR Resources. — Perak FC

PEMILIK Perak FC, Impact Media & Communications (IMC) masih menunggu proof of funds dan draf perjanjian (draft agreement) daripada syarikat JR Resources sebelum meneruskan proses penyerahan hak milik Perak FC.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah berkata, pihaknya belum menerima sebarang dokumen berkaitan untuk diserahkan kepada penganjur Liga Malaysia (Liga M), Malaysian Football League (MFL).

“Untuk makluman, JR Resources ini sebenarnya hanya merupakan syarikat tujuan khas (SPV), namun apa yang penting adalah individu-individu yang ada di belakang mereka.

“Semalam (Isnin), kami telah adakan perbincangan dengan wakil JR Resources dan kami sudah pun membincangkan terma-terma serta condition bagi melengkapkan proses penyerahan kelab.

“Bagaimanapun, setakat ini kami masih menunggu draf perjanjian dan juga proof of funds bagi meneruskan proses seterusnya daripada pihak JR Resources,” katanya pada Selasa.

Mengulas lanjut, Muhammad Yunus berkata, proof of funds itu adalah keputusan daripada pihak MFL sebagai bukti bahawa syarikat yang mahu mengambil alih Perak FC memiliki kewangan yang kukuh.

“Pihak JR Resources telah meminta proses penyerahan Perak FC dibuat terlebih dahulu sebelum mereka menyerahkan proof of funds dan memasukkan wang ke dalam akaun.

“Ikutkan memang bukan begitu caranya kerana ia tidak mengikuti syarat daripada MFL yang mahu bukti dana dikemukakan dahulu. Tanpa bukti dana ini, penalti yang dikenakan kepada Perak FC akan tetap berjalan seperti pemotongan enam mata pada 14 April ini.

“Jadi, jika penyerahan Perak FC ini dapat dilakukan dalam masa terdekat, memang ada harapan untuk pembayaran gaji (pemain dan pegawai Perak FC),” jelasnya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram