Ramai polis turun padang, ultras Perak FC dilarang masuk stadium?


  • Podium
  • Isnin, 11 Apr 2022

Sebahagian penyokong Perak FC yang hadir memberi sokongan di Stadium Perak pada Sabtu. — Perak FC

SETELAH dua perlawanan pertama liga tanpa kemenangan, Perak FC akhirnya berjaya mencatatkan kemenangan dalam Liga Premier dengan menewaskan Selangor FC II pada Sabtu.

Namun terdapat cerita yang kurang enak di sebalik kemenangan liga pertama The Bos Gaurus itu apabila terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa sebahagian penyokong Perak FC dilarang masuk ke stadium.

Bekas pemain Perak FC, Khalid Jamlus mendakwa, penyokong ultras Perak FC (Silver State Ultras) yang hadir pada Sabtu untuk menonton perlawanan berkenaan dilarang masuk ke stadium.

Beliau meninggalkan komen dalam satu hantaran Perak FC mempersoalkan perkara itu dan mengecam tindakan pengurusan yang bertindak demikian.

"Soalan saya, betul ke semalam (Sabtu) penyokong-penyokong ultras tak dibenarkan masuk stadium... betulkan kalau saya salah.

"Saya nak tahu kenapa... apa salah mereka... mereka ini la yang akan mencetuskan semangat pemain-pemain membara," katanya.

Seorang ahli kelab penyokong Perak FC, Gendang Perak yang dikenali sebagai Hakimi Halim berkata, isu tersebut bermula sejak perlawanan Piala FA antara Perak FC dan Kijang Rangers pada 31 Mac lalu.

"Kisahnya bermula sewaktu pasukan Perak FC menentang Kijang Rangers lagi... ketika perlawanan itu, budak-budak ultras ni ada nyanyi lagu 'IMC bangsat' (Impact Media & Communications Sdn Bhd, pemilik Perak FC). Lepas daripada perlawanan tersebut, polis mula kerahkan anggota mereka ke Stadium Perak.

"Dan semalam (Sabtu), salah seorang pemain dram ultras ni telah diugut oleh seseorang yang mengatakan bahawa mereka akan ditangkap jika hadir ke stadium. Sebagai otai dalam kalangan penyokong Perak FC, saya menasihati mereka supaya tidak hadir ke stadium, kalau nak datang pun duduk asing-asing dan tak perlu bawa dram.

"Masa saya datang stadium malam semalam, saya rasa terkejut tengok dua buah trak Black Maria dengan tiga barisan anggota polis lengkap beruniform berada di hadapan stadium," katanya kepada Majoriti.

Hakimi berkata, dia bukan mahu mempertikaikan tugas pihak berkuasa, namun pelik kerana situasi itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

Tambahnya, penyokong tidak seharusnya disekat untuk memasuki stadium kerana mereka telah membayar tiket dan tiada niat untuk membuat rusuhan.

"Bagi saya tak perlulah sampai nak kerahkan anggota polis seramai itu, mereka bukannya buat benda yang melanggar undang-undang pun," ujarnya.

Sementara itu, salah seorang penyokong Perak FC yang enggan dikenali mengesahkan, terdapat ramai polis yang hadir ke stadium pada Sabtu bagi mengawal perkarangan stadium.

"Memang ramai polis turun untuk kawal perkarangan stadium, tapi saya tak pasti mengenai dakwaan yang mengatakan ultras Perak FC dilarang masuk stadium.

"Mereka (polis) turun dengan dua buah trak, yang naik motosikal pun ramai turun," katanya.

Dalam perlawanan tersebut, anak didik Yusri Che Lah berjaya mendapatkan kemenangan pada saat-saat akhir permainan menerusi dua gol lewat pada minit ke-88 dan 92 menerusi dua jaringan pemain gantian, Mohd Farid Khazali.

Namun, Selangor FC II terlebih dulu di depan pada minit ke-81 menerusi penyerang import, George Tetteh Atram. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram