Pernah rantai Messi dan Ronaldo, bekas pertahanan La Liga bakal sertai JDT?


  • Podium
  • Rabu, 13 Apr 2022

Amat (kiri) cuba mengekang pergerakan Messi ketika menyarung jersi Rayo Vallecano. — AFP

PENDAHULU Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) disebut-sebut bakal membawa bekas pertahanan Liga Sepanyol dan Liga Perdana Inggeris, Jordi Amat ke Stadium Sultan Ibrahim musim depan.

Menurut laporan, pemain Sepanyol berusia 30 tahun itu sudah bersetuju untuk menyertai JDT dan bakal diperkenalkan secara rasminya kelak.

Dia kini sedang bersama kelab Belgium, Eupen dan kontraknya akan berakhir pada 30 Jun 2022.

Pertahanan berketinggian 1.84 meter itu pernah beraksi untuk beberapa kelab ternama Eropah seperti Espanyol, Rayo Vallecano, Real Betis dan Swansea, selain berpengalaman merantai pergerakan beberapa penyerang berkelas dunia seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Dia juga pernah beberapa kali mewakili pasukan bawah umur Sepanyol serta membantu pasukan bawah 17 (B-17) tahun negara itu meraih tempat ketiga dalam kejohanan Piala Dunia B-17 pada 2009.

Ketika ini, Jordi dilaporkan hanya menunggu masa untuk menjadi pemain naturalisasi Indonesia, sekali gus menjadi calon yang tepat buat JDT mengisi kuota import Asia pada musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram