Pengadil salah batal gol Sri Pahang FC, berdepan tindakan digantung — FAM


  • Podium
  • Jumaat, 08 Apr 2022

JARINGAN oleh pemain Sri Pahang, David Rowley ketika menentang KDA FC dalam aksi Liga Super pada Rabu yang dibatalkan oleh pengadil. — MFL

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapati terdapat kesalahan yang dilakukan pengadil perlawanan ketika perlawanan Liga Super antara Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang Sri Pahang FC pada Rabu.

Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman dalam satu kenyataan berkata, badan induk itu telah membuat tindakan awal berhubung beberapa insiden membabitkan pengadil pada hari perlawanan ketiga Liga Super yang berlangsung minggu ini.

"Bagi perlawanan antara KDA FC menentang Sri Pahang FC, laporan daripada Penilai Pengadil menyatakan bahawa terdapat kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat beberapa keputusan termasuk membatalkan jaringan pasukan Sri Pahang FC.

"Biarpun tidak menerima sebarang surat aduan daripada Sri Pahang FC, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil telah melakukan siasatan, penelitian dan analisis menerusi rakaman video, dan mendapati bahawa memang terdapat kesalahan dilakukan oleh pegawai-pegawai perlawanan," katanya.

Tambah beliau, Jawatankuasa Pengadil FAM akan mengambil tindakan tegas termasuk penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan terhadap pegawai-pegawai perlawanan terbabit.

Dalam pada itu, Abang Zulkarnain berkata, Penilai Pengadil mendapati tiada kesalahan dilakukan oleh pengadil yang melayangkan kad merah kepada pertahanan Selangor FC, Yazan Al-Arab ketika perlawanan Negeri Sembilan FC menentang Selangor FC pada Selasa.

Katanya, FAM telah menerima surat aduan daripada Selangor FC pada Rabu, dan membalas surat berkenaan sehari kemudian.

Tambah beliau, Penilai Pengadil juga mendapati bahawa tiada kesalahan dilakukan oleh pengadil yang melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Kuala Lumpur City FC, Kenny Pallraj ketika menentang Johor Darul Takzim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram