Bintang JDT, KDA FC barisi kesebelasan terbaik perlawanan ketiga Liga Super


  • Podium
  • Sabtu, 09 Apr 2022

Arif Aiman (kiri) dan Dechi Marcel (kanan) antara yang menyerlah bersama pasukan masing-masing dalam perlawanan ketiga Liga Super.

SAINGAN Liga Super 2022 kembali semula selepas sebulan berehat dengan kesemua 12 pasukan turun beraksi kali ini.

Sebanyak 14 gol dihasilkan dengan pelbagai kontroversi berlaku termasuk melibatkan keputusan pengadil pada perlawanan ketiga liga.

Terdapat beberapa pemain yang begitu menyerlah dan menjadi ayam tambatan pasukan masing-masing ketika menentang lawan.

Kesebelasan terbaik Liga Super minggu ketiga:

Penjaga Gol - Kalamullah Al-Hafiz (PJ City FC)

Penjaga gol PJ City ini memastikan 'clean sheet' kedua musim ini miliknya dengan satu lagi prestasi cemerlang, terutama di separuh masa pertama untuk mengekang trio serangan Terengganu FC, Kpah Sherman, Faisal Halim dan Tctetche Kipre.

Pertahanan - Azmeer Aris (KDA FC)

Bukan sahaja mempamerkan ketenangan di bahagian pertahanan, malah pemain ini juga cemerlang merantai kelincahan pemain Sri Pahang FC sekaligus memastikan Kedah Darul Aman (KDA) FC menang tanpa bolos.

Pertahanan - Rodney Celvin (KDA FC)

Gandingannya bersama pemain Korea Selatan, Jang Suk-won di bek tengah beberapa kali berjaya menghampakan gerakan serangan yang direncana Sri Pahang. Lebih manis, dia berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Pertahanan - Shane Lowry (JDT)

Bek JDT ini bijak dan tenang mengeluarkan bola yang hadir ke barisan pertahanan pasukannya. Hantaran bola serta keupayaannya di udara juga berjaya menghampakan serangan KL City FC.

Tengah - Natxo Insa (JDT)

Kehadirannya di jentera tengah JDT berjaya mematikan bahagian tengah pasukan tersusun dan merantai segala rencana yang dilakukan barisan tengah KL City FC.

Tengah - Dechi Marcel (KDA FC)

Marcel merupakan nadi penting kemenangan KDA FC, bukan sahaja dapat mengawal tempo permainan dengan baik malah dia rajin membantu pasukan ketika melancarkan serangan dan juga kerap turun membantu posisi pertahanan.

Tengah - Arif Aiman (JDT)

Seperti kebiasaan, skil dan gerakan pemain ini sentiasa mengundang masalah buat pertahanan pihak lawan, dan kelincahannya menjadi pencetus kepada gol kedua JDT.

Tengah - Mahalli Jasuli (PJ City FC)

Kerajinan yang ditunjukkan Mahalli bukan sahaja terbukti ketika menggerakkan bahagian serangan PJ City, tetapi juga mematahkan serangan TFC terutama di bahagian tengah.

Penyerang - Kossi Adetu (Negeri Sembilan FC)

Kemasukannya pada separuh masa kedua berjaya merubah landskap perlawanan buat Negeri Sembilan FC ketika menentang Selangor FC. Dia berjaya memenangi sepakan penalti yang disudahkan Herold Goulon, dan mencatat gol penyamaan pada minit-minit terakhir.

Penyerang - Darren Lok (PJ City FC)

Hatrik dari penyerang PJ City ini sudah cukup membuktikan dia antara penyerang terbaik negara ketika ini. Dia bijak mencari peluang dan ruang di kawasan penalti TFC dan sering menyukarkan barisan pertahanan Sang Penyu.

Penyerang - Bergson Da Silva (JDT)

Kelincahan dan gerakan yang dilakukannya sentiasa mengundang masalah buat pertahanan KL City FC, dan hasilnya dia berjaya menjaringkan dua gol penting buat JDT. Pertahanan KL City FC tampak hilang arah apabila berdepan dengan Bergson.

Saingan Liga Super akan diteruskan pada Sabtu dengan tiga perlawanan bakal berlangsung, dan baki tiga lagi perlawanan pada Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram