PENYERANG Terengganu FC (TFC), Kpah Sherman mengakui sukar untuk menembusi sehingga sembilan pemain di benteng pertahanan PJ City yang menyaksikan mereka tewas 0-3 dalam aksi Liga Super pada Rabu lepas.
Pemain dari Liberia ini menyifatkan PJ City begitu kebal di barisan pertahanan tanpa langsung memberi peluang kepada mereka untuk menembusi gawang gol.
Kekalahan tersebut memberi banyak pengajaran kepada TFC dan perlu perbaiki segala kelemahan kerana aksi seterusnya pasti lebih sukar apabila berdepan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Ahad.
“Memang sangat kecewa apabila tewas 0-3 apatah lagi ini adalah perlawanan pertama kami untuk musim ini.
“PJ City bermain hampir lapan hingga sembilan pemain di bahagian pertahanan dan kami susah nak menembusi mereka, jadi kami hilang peluang dan tewas.
“Selepas berakhir perlawanan, jurulatih (Nafuzi Zain) terus memberikan semangat dan motivasi kepada kami untuk terus bangkit dan kena belajar daripada kesilapan yang dilakukan (pada Rabu).
“Berdepan JDT, mereka memang lawan yang kuat jadi kami kena bekerja lebih keras dan perbaiki kelemahan," katanya.
Lok sumbat hatrik ketika PJ City menumpaskan TFC 3-0 pada Rabu. — Facebook PJ City
Sementara itu, penyerang PJ City, Darren Lok yang menjadi wira pasukan melakar hatrik untuk menewaskan TFC menganggap satu pasukan wajar diberi pujian atas kemenangan tersebut.
Apa yang penting, dia gembira apabila dapat membantu sambil mengharapkan aksi konsisten ini dapat kembali membuka peluang untuknya dipanggil menyertai skuad kebangsaan.
“Semestinya gembira apabila dapat melakukan hatrik tetap saya lebih puas dengan tiga mata yang diraih dan saya rasa pasukan lebih layak untuk terima pujian.
“Dan sudah tentu saya kecewa apabila sudah dua kali (digugur dari skuad kebangsaan) jadi saya harap kalau dapat teruskan aksi begini, saya dapat dipanggil kembali," menurutnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram