PENYERANG PJ City FC, Darren Lok mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan pada Rabu apabila meledak hatrik ketika menentang Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Selangor.
Tiga gol yang dijaringkan pemain berusia 31 tahun itu pada minit ke-12, 31 dan 38 berjaya mengejutkan pasukan pelawat yang dibarisi pemain import.
PJ City yang dibarisi sepenuhnya pemain tempatan berjaya mengekang asakan TFC bagi memastikan tiga mata penuh milik mereka dan menghuni tangga ketiga liga selepas tiga perlawanan.
Seorang pengguna Facebook, Zamrie Chin, meluahkan rasa kagumnya terhadap persembahan pemain kelahiran Hailsham, England itu dan memuji perkembangan yang ditonjolkan oleh pemain naturalisasi itu.
Dia berpendapat bahawa Darren kini sudah bersedia untuk merampas 'takhta' penyerang utama Harimau Malaya daripada pemain Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad.
Syafiq Ahmad tampil cemerlang bersama skuad Sang Kenari setakat ini.
"Semasa di JDT, Darren Lok kurang bermain... bila tengok dia main, aku sendiri cakap buang masa saja ambil dia.
"Tapi bila berada di PJ City, minit bermain cukup, kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih, tiada tekanan, tiada masalah luar seperti masalah gaji. Dia jadi lebih matang dalam permainan dan berkembang dengan baik.
"Nampaknya jika tidak ditimpa kecederaan lagi dan terus konsisten dalam liga, dia akan diangkat sebagai penyerang utama negara nanti. Syafiq Ahmad perlu berkerja lebih keras lepas ni untuk dikekalkan penyerang utama negara," katanya.
Ulasan Zamrie Chin mengenai prestasi Darren Lok.
Dia turut memuji PJ City FC kerana memberi platform buat pemain tempatan membuktikan kehebatan mereka dan berjaya membuktikan pemain tempatan mampu bersaing dengan pemain import.
Darren sebelum ini terpaksa disisihkan daripada skuad kebangsaan untuk aksi persahabatan antarabangsa di Singapura bulan lalu selepas didapati positif Covid-19.
Syafiq Ahmad pula berjaya mencuri hati peminat dengan aksinya menjaringkan gol dan mencipta peluang sepanjang perlawanan persahabatan di negara jiran itu.
Syafiq Ahmad kini dipinjamkan ke Kedah dari JDT dan dilihat dalam proses memulihkan prestasinya selepas 'diperam' oleh skuad Harimau Selatan itu selama beberapa musim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram