KEMELUT tunggakan gaji pemain dalam kancah bola sepak negara seolah-oleh tiada berkesudahan dan kini dillihat seperti kudis yang kian merebak apabila satu persatu kelab menghadapi masalah yang sama.
Bermula dengan pasukan Perak FC yang masih dibelenggu isu tunggakan sejak awal musim, kemudian disusuli Kuala Lumpur (KL) City dan terbaharu, Melaka United FC.
Bukan hanya pemain serta pasukan pengurusan yang berasa sedih dengan isu berkenaan, malah peminat turut berduka kerana isu tersebut boleh menyebabkan pasukan kegemaran mereka tersingkir dari saingan liga sebagaimana yang bakal menimpa Perak FC jika masalah mereka tidak diselesaikan.
Media melaporkan, jika isu itu terus berlanjutan sehingga 21 April, pasukan terbabit berkemungkinan akan digantung lesen, sekali gus berhadapan nasib seperti Perlis FA yang disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada 2019.
Pengguna Facebook, Ramli Muhammad berpendapat isu tunggakan gaji itu akan berlarutan dari satu pasukan ke pasukan lain jika pihak kelab gagal mengekang nafsu untuk 'membela' pemain import berbanding menggunakan pemain tempatan.
Tangkap layar pendapat pengguna Facebook, Ramli Muhammad berhubung isu tunggakan gaji.
"Rasanya bukan Perak saja mengalami nasib begini malang. Kita tunggu episod seterusnya.
"Banyak lagi pasukan Malaysia yang berbelanja melebihi kemampuan beli pemain import hanya untuk bersaing dalam liga domestik," katanya.
Baginya, jika sebuah kelab itu membeli kuota pemain import untuk bermain di peringkat Liga Juara-Juara Asia (ACL) ataupun Piala Asia, ia adalah alasan yang boleh diterima untuk berbelanja lebih.
Namun, semuanya bergantung kepada keupayaan kewangan kelab itu sendiri dalam merancang pembelian pemain.
"(Nak bayar) Gaji pemain import yang tinggi,(tetapi) akhir liga hanya mampu berada di tempat kelima bawah, memang tidak berbaloi.
"Penaja tidak mahu menaja dan akhirnya kelab tidak mampu bayar gaji. Ukur baju di badan sendiri sepatutnya. Bukan kerana desakan penyokong semata-mata," jelasnya.
Berhubung kemelut yang dihadapi Melaka United, isu tunggakan gaji kelab itu sudah berlarutan sejak tiga bulan lalu dan ia perlu diselesaikan segera bagi memastikan skuad tersebut kekal berdaya saing dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Sulaiman Md Ali, menegaskan kegagalan pihak kelab untuk melunaskan bayaran tunggakan berkenaan dijangka menyukarkan lagi pasukan itu untuk meningkatkan prestasi permainan pada masa depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram