PEMAIN tengah KL City FC, Kenny Pallraj kesal dengan komen berbaur perkauman yang diterima daripada sesetengah peminat bola sepak tempatan berikutan kenyataannya menyifatkan bola sepak Malaysia masih dijajah.
Menurutnya, setiap orang berhak meluahkan pendapat masing-masing dan dia menerima banyak komen yang menyokong serta mengecam dirinya, tetapi terkejut dengan komen berbaur perkauman yang dilemparkan ke atasnya.
"Saya telah menerima sokongan daripada sesetengah pihak, ada juga yang mengatakan saya harus melupakannya dan pandang ke depan, ada yang menghina saya dan ada juga yang mengatakan saya 'koyak' dan yang mengejutkan adalah banyak kata-kata berunsur perkauman.
"Setiap orang berhak meluahkan pendapat mereka. Jika kamu mahu pukul saya, silakan... saya akan sentiasa berdiri teguh dengan pendirian dan cara bermain saya. Apabila saya berada di atas padang, perwatakan saya memang begitu. Ada kalanya ia menguasai saya, tetapi manusia belajar daripada kesilapan," katanya dalam satu hantaran Instastory pada Khamis.
Pallraj mengakui tindakannya menampar kepala pemain Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi Liga Super pada Rabu adalah disebabkan emosi, namun menyifatkan dirinya masih sedang belajar.
Tambahnya, dia akan bangkit dengan lebih kuat selepas insiden itu bagi membantu kelabnya mencapai objektif.
"Saya berbesar hati kerana mempunyai sokongan yang baik daripada keluarga, barisan jurulatih, rakan-rakan sepasukan dan juga rakan-rakan. Saya kuat dalam permainan ini disebabkan oleh mereka. Untuk mereka, saya akan bangkit kembali.
"Saya mahu beritahu anda ini, saya tidak sempurna. Saya sentiasa belajar, namun kesungguhan saya di atas padang tidak akan luntur. Saya tak sabar untuk kembali dengan lebih kuat dan membantu KL City FC mencapai matlamatnya," katanya.
Rentetan peristiwa itu, pemain sayap JDT, Akhyar Rashid turut memberi sokongan kepada Pallraj di ruangan komen.
Akhyar memberi sokongan kepada Pallraj di Instagram.
Dalam aksi Liga Super antara KL City FC dan Johor Darul Takzim (JDT) pada Rabu, pemain itu dilayangkan kad merah akibat menampar kepala Leandro Velazquez pada minit ke-57.
Bagaimanapun, dia tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil dan meluahkan kemarahannya dalam satu hantaran Instastory selepas perlawanan tersebut.
"Malaysia dah Merdeka namun bola sepak Malaysia masih dijajah," katanya pada Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram