'Kenny tiada disiplin, otak dia yang masih dijajah'


  • Podium
  • Khamis, 07 Apr 2022

INSIDEN Pallraj menampar kepala Velazquez pada minit ke-57 ketika perlawanan Liga Super antara KL City FC dan JDT pada Rabu yang menyebabkan dia dilayangkan kad merah. — MFL

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemain tengah KL City FC, Kenny Pallraj berhubung hantaran Instastory yang dimuatnaik selepas perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada Khamis.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Pallraj jelas melanggar artikel FAM dan boleh dikenakan tindakan oleh badan induk itu.

"FAM kena ambil tindakan terhadap dia, itu dah dikira kritikan terhadap FAM. Bukan nak kata orang tak boleh komen mengenai FAM, tapi berpada-padalah, apa maksud kamu cakap macam tu?

"Kamu yang tiada disiplin tapi nak cakap bola sepak Malaysia masih dijajah... otak kamu tu yang masih dijajah. Zaman profesional ni pemain dah tak tampar pemain lain dah," katanya kepada Majoriti.

Menurut Jamal, FAM harus mengambil tindakan terhadap pemain itu bagi menunjukkan ketegasannya serta supaya menjadi pengajaran kepada pemain-pemain lain.

Tambahnya, Pallraj harus sedar bahawa kad merah yang diterimanya adalah wajar kerana kekasaran yang dilakukan dan tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, Pallraj dilayangkan kad merah akibat menampar kepala Leandro Velazquez pada minit ke-57.

Selepas perlawanan, dia yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil itu dan meluahkan kemarahannya dalam satu hantaran Instastory selepas perlawanan tersebut.

"Malaysia dah merdeka namun bola sepak Malaysia masih dijajah," katanya pada Khamis.

Dalam perlawanan itu, JDT menang 3-0 melalui satu jaringan Fernando Forestieri dan dua daripada Bergson da Silva. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram