CEO Perak FC bagi sebab terima tawaran tanpa proof of funds


  • Podium
  • Khamis, 07 Apr 2022

PENGAMBILALIHAN Perak FC masih belum selesai berikutan kengganan bakal pembeli menyerahkan proof of funds kepada pihak IMC. — Perak FC

PERAK FC dijangka mendapat pemilik baharu dalam masa terdekat selepas pemiliknya, Impact Media and Communications Sdn Bhd (IMC) bersetuju untuk melepaskan kelab itu kepada pemilik baharu tanpa proof of funds.

Pengarah, Perkongsian dan Jualan Penajaan IMC, Muhammad Yunus Zakariah berkata, pihaknya membuat keputusan itu selepas desakan kuat daripada peminat yang mahu bakal pembeli mengambil alih kelab itu dengan segera.

"Kami dah kena tekan dengan penyokong semua yang berasa yakin dengan bakal pembeli ni, tambahan pula mereka (bakal pembeli) juga dah jumpa pihak MFL (Malaysian Football League).

"Jadi saya rasa lebih baik kami serahkan saja walaupun mereka tak serahkan proof of funds... mungkin kami akan cadang untuk teruskan dengan pengambilalihan," katanya kepada Majoriti.

Perak FC dalam satu kenyataan pada Khamis mengumumkan bahawa pihaknya menerima surat penawaran susulan untuk pembelian dan pengambilalihan 100 peratus ekuiti Perak FC Sdn Bhd pada Khamis melalui wakil undang-undang IMC tanpa proof of funds.

Menurut kenyataan itu juga, IMC akan menerima baik tawaran itu dan akan memaklumkan MFL mengenai perkara tersebut bersama cadangan penyelesaian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Yunus yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC berkata, pihaknya akan cuba menyelesaikan pengambilalihan itu sebelum 14 hari bulan ini, iaitu sebelum pemotongan sebanyak enam mata dilaksanakan oleh MFL.

"Nak minta proof of funds tapi mereka tak nak bagi... jadi kita hanya boleh buat spekulasi sajalah (kemampuan kewangan pembeli baharu), kita pun tak tahu mereka mampu bayar atau tidak.

"Apa yang kami tahu adalah peminat desak kami lepaskan, dan mereka cakap bakal pembeli baharu ini lebih layak," ujarnya.

Majoriti sebelum ini melaporkan, pengambilalihan Perak FC masih belum selesai berikutan keengganan bakal pembeli menyerahkan proof of funds kepada pihak IMC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram